Hari Ini Giliran Rafizi Pula Yang Dihadapkan Ke Mahkamah

Kuala Lumpur – Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli akan didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini, atas pertuduhan di bawah Seksyen 504, Kanun Keseksaan, dan akan menjadi sebahagian daripada barisan wakil rakyat Pakatan Rakyat (PR) yang didakwa.

Rafizi dalam satu kenyataan medianya berkata, beliau diberitahu mengenai perkara itu jam 6 petang semalam.

Pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pepecahan keamaman.

“Jika didapati bersalah, saya boleh dipenjara bagi tempoh sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” kata Rafizi dalam satu kenyataannya.

Semalam, Rafizi dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang untuk direkodkan kenyataan dan disiasat di bawah Akta Hasutan berikutan satu kenyataannya pada awal Februari 2014.

Kenyataan itu menyentuh mengenai kejadian yang boleh menimbulkan ketegangan kaum di Selangor dan seolah-olah ada usaha memainkan isu agama dan perkauman berikutan kejadian demonstrasi di depan gereja yang berlaku sebelum itu.

Semalam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima RSN Rayer yang mengeluarkan kenyataan “celaka celaka Umno” dalam sidang Dewan Undagan Negeri (DUN) Pulau Pinang sebelum ini, didakwa di Mahkamah Sesyen George Town dengan dua pertuduhan.

Rayer pada mulanya didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zulhazmi Abdullah yang membenarkan ikat jamin RM3,000 dan menetapkan 17 Oktober untuk tarikh sebutan semula.

26 Ogos, sehari sebelum itu, Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad didakwa di bawah akta yang sama berikutan kenyataannya terhadap Sultan Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin daripada PAS didakwa pada Isnin lalu kerana memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya dua tahun lalu.

Naib Presiden PKR N Surendran, yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, didakwa kerana menghasut pada 19 Ogos atas kenyataan beliau terhadap perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada 5 Mei tahun ini, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, yang juga naib presiden DAP, juga didakwa di bawah akta hasutan ekoran klip video “Onederful Malaysia”.

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Maria Chin Abdullah menyatakan kebimbangan Akta Hasutan digunakan untuk “menutup mulut penentang dan kebebasan bersuara”.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.