Chong Wei Pamer Aksi Tersendiri

Denmark – Walaupun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan pangkal paha, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mempamerkan aksi kelas tersendiri pada Kejohanan Badminton Dunia BWF 2014 yang berlangsung awal pagi semalam.

Dalam aksi pembukaan di Ballerup Super Arena itu, Chong Wei hanya mengambil masa 45 minit untuk mengalahkan pemain muda Korea Selatan, Lee Dong Keun dengan kemenangan 21-11 dan 21-12.

Bercakap kepada pemberita selepas perlawanan berkenaan, Chong Wei menjelaskan, beliau berpuas hati dengan corak permainannya yang disifatkannya normal walaupun tidak berada pada prestasi terbaik.

“Saya cuba beri persembahan yang terbaik walaupun hampir dua bulan tidak beraksi dalam mana-mana perlawanan kompetitif. Mungkin tidak sepenuhnya tapi saya masuk gelanggang dan terus melupakan kecederaan yang saya alami,” katanya.

Anak jati Pulau Pinang itu berkata beliau mengamalkan corak permainan agresif pada perlawanan tersebut kerana menganggap kesemua perlawanan dalam Kejohanan Dunia adalah penting dalam usahanya memburu gelaran sulung.

Menyentuh aksi pusingan kedua Rabu ini, Chong Wei berkata beliau menghormati lawannya, Dieter Domke walaupun pemain tinggi lampai dari Jerman itu pernah kalah dua kali kepadanya sebelum ini.

“Yang penting bagi saya adalah tidak memandang rendah mana-mana lawan yang saya hadapi dan kekal fokus,” katanya.

Domke terpaksa berhempas pulas sebelum mencatatkan kemenangan 26-24, 13-21, dan 21-18 ke atas pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014, Kashyap Parupalli dari India dalam satu lagi perlawanan pusingan awal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.