Bayi Maut Ditangan Ibu

Bagan Serai – Seorang bayi 15 bulan maut di pangkuan ibunya setelah terbabit dalam nahas di Kilometer 177, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, kira-kira jam 6.16 pagi.

Dalam kejadian itu, Ariq Syahmi Abdul Karim maut di tempat kejadian setelah kenderaan Nissan Sentra dipandu bapanya, Abdul Karim Abu Bakar, 42, hilang kawalan dan terbalik sebelum dirempuh sebuah van Toyota Hiace ketika cuba memintas sebuah lori simen.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kerian, Deputi Superintendan Mohd Radzuan Bachik berkata, ketika kejadian terdapat sebuah van Toyota Hiace dinaiki pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Batu Kurau lalu di laluan sama tidak sempat mengelak dan merempuh kenderaan dinaiki mangsa sekeluarga.

“Rempuhan menyebabkan bayi terbabit maut di pangkuan ibunya, manakala ibu mangsa dengan seorang lagi anak parah akibat tersepit dan kini menerima rawatan di Hospital Taiping.

“Sementara itu, bapa mangsa dengan dua lagi anaknya cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar di Hospital Parit Buntar,” katanya kepada media, semalam.

Menurutnya, Abdul Karim sekeluarga dari Sungai Buloh, Selangor dalam perjalanan ke sebuah hospital di Alor Setar untuk menghantar isterinya menjalani pembedahan perut.

“Siasatan awal mendapati, kenderaan dinaiki enam beranak itu gagal memintas lori di laluan perlahan dan menyebabkan ia terbabas sebelum dirempuh kenderaan lain.

“Mayat bayi terbabit dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat dan telah dituntut untuk dikebumikan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai, Penolong Penguasa Bomba Kanan Azmir Hassan berkata, laporan kejadian diterima kira-kira jam 6.16 pagi.

“Sembilan anggota ditugaskan ke tempat kejadian dan kita mengambil masa lebih kurang 10 minit bagi mengeluarkan semua mangsa yang terperangkap dalam kenderaan terbabit,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.