Rafizi Cabar Sanusi Debat Secara Langsung Di Televisyen

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, mencabar Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berdebat pada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), yang bermula esok.

Rafizi melontarkan cabaran debat secara langsung di televisyen kepada Muhammad Sanusi selepas tawaran debatnya buat Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sejak beberapa hari lalu, tidak disahut.

Menteri Ekonomi itu memilih Muhammad Sanusi kerana Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu disifatkannya sebagai pemimpin pembangkang paling berani ketika ini.

Malah, Rafizi yakin debat itu akan menjadi ‘hiburan terbaik’ untuk rakyat menjelang PRN pada 12 Ogos depan.

“Oleh kerana (Mohamed) Azmin, mantan Menteri Ekonomi sampai sekarang (tidak sahut cabaran debat). Sudahlah lari daripada kerusi Bukit Antarabangsa. Yang itu pun takut. Sekarang orang ajak berbincang pasal ekonomi pun takut.

“Jadi, saya ingat yang seterusnya dalam kalangan pimpinan PN ini yang paling berani adalah (Muhammad) Sanusi.

“Oleh itu, lepas ini Insya-Allah saya nak jemput Sanusi mari berdebat dalam televisyen. Saya yakin ramai, TV3 ke, Astro ke, semua akan berebut-rebut.

“Saya pengarah Pilihan Raya PKR. Dia Pengarah Pilihan Raya PAS. Jom kita berdebat supaya kita boleh bincang,” katanya dalam ceramah Jelajah Madani Dewan Undangan Negeri (DUN) Rawang di Rawang, semalam.

Selasa lalu, Rafizi ketika menyampaikan ceramah Jelajah Madani di Sri Tanjung, Port Dickson, mencabar Mohamed Azmin berdebat mengenai ekonomi Malaysia sekiranya pemimpin PN itu berani.

Rafizi pernah mengemuka cabaran debat kepada Mohamed Azmin menjelang pemilihan PKR pada 2018 ketika bekas Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu masih memegang jawatan Timbalan Presiden PKR, namun Mohamed Azmin menolak cabaran debat berkenaan.

Rafizi menjelaskan, cabarannya untuk berdebat dengan pemimpin PN adalah bagi memulakan budaya persaingan idea untuk membantu rakyat, dan tidak tertumpu pada retorik ‘siapa lebih Melayu’.

“Saya dah bentangkan satu perkara yang mudah saja. Macam mana kita nak tukar solar dan atap nak bantu rakyat. Saya nak tunggu daripada PN apa idea mereka? Idea konkrit macam mana nak bantu rakyat,” katanya.

Rafizi juga membuka ruang kepada Muhammad Sanusi untuk memilih sebarang tajuk untuk diperdebat selagi mana ia tertumpu pada isu ekonomi, seperti pembinaan lapangan terbang, projek solat atau hal ehwal golongan miskin.

Beliau turut menyifatkan debat yang boleh diadakan pada mana-mana tarikh sepanjang dua minggu kempen PRN itu, sebagai cara terbaik untuk ‘menutup’ mulut Muhammad Sanusi daripada memperlekeh dan menghina fizikal mana-mana pemimpin lawannya.

“Jadi ada masa dua minggu lagi ni, kalau saya tak bantu dia berdebat pasal ekonomi, pasal pentadbiran, saya tak tahu siapa lagi dia nak hina lepas ini.

“Insya-Allah kita ada dua minggu, jadi hiburan yang baik untuk rakyat sementara nak masuk pilihan raya.

“Insya-Allah kita usahakan satu debat antara saya, Pengarah Pilihan Raya PKR dengan Sanusi, Pengarah Pilihan Raya PAS,” katanya. – BH

author avatar
Mohd Faizul
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat