Wang Tunai RM36,900 Jadi Rebutan Kaki Pancing Di Tasik Titiwangsa

KUALA LUMPUR – Wang tunai berjumlah RM36,900 menanti kaki pancing sempena pertandingan Siri Kedua GP KOPDBKL pada 6 Ogos di Taman Tasik Titiwangsa, di sini.

Pertandingan anjuran Koperasi Pegawai-pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (KOPDBKL) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyasarkan penyertaan kira-kira 1,000 kaki pancing.

Pengerusi KOPDBKL, Kamarulzaman Mat Salleh berkata juara bakal membawa pulang RM20,000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM6,000, dan RM3,000.

“Selain hadiah wang tunai, kami juga menawarkan sebuah motosikal sebagai hadiah cabutan bonanza selain 20 hamper untuk cabutan bertuah,” katanya pada sidang akhbar mengenai pertandingan itu pada Khamis, lapor Bernama.

Sebagai simbolik pertandingan, penganjur melepaskan hampir satu tan ikan rohu dan pacu ke dalam tasik itu, yang disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff.

Setiap pendaftaran dikenakan bayaran RM50 untuk satu joran dan peserta dibenarkan menggunakan maksimum dua joran.

Kaunter pendaftaran dan pengesahan dibuka di Pejabat KOPDBKL sehingga 4 Ogos manakala kaunter pendaftaran 24 jam akan dibuka di lokasi pertandingan bermula pukul 12 tengah hari pada 5 Ogos.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.