Putera William Bersara Sebagai Juruterbang Ambulans

LONDON – Putera William mengumumkan bersara daripada perkhid­matan ambulans udara semalam selepas dua tahun menyaksikan ‘tragedi-tragedi mengerikan’ bagi memberi tumpuan kepada tugas-tugas diraja.

Menurut AFP, Putera William yang memakai gelaran Duke of Cambridge, pewaris kedua takhta di Britain, menamatkan kariernya sebagai juruterbang ambulans udara di bahagian timur Britain.

Pengumuman itu muncul pada ketika nendanya, Ratu Elizabeth II dan suami, Duke of Edinburgh mengundur daripada sebahagian tugas-tugas diraja dan membenarkan generasi muda mengambil alih tempat mereka.

Mengulas mengenai masa penerbangannya bersama kru perubatan di pangkalan yang terletak di Lapangan Terbang Cambridge, William memuji usaha keras mereka yang bekerja dengan perkhidmatan kecemasan.

“Sebagai satu pasukan, kami berdepan beberapa insiden mendebarkan dan melalui detik-detik sukar bersama selain menyaksikan beberapa tragedi mengerikan,” kata William dalam satu tulisan editorial yang disiarkan akhbar The Eastern Daily Press, memetik Kosmo.

Putera William, anak sulung kepada pewaris takhta Britain, Putera Charles menceritakan beberapa momen dilalui seperti ‘hari sukar’ apabila beliau mengendalikan insiden membabitkan seorang lelaki cuba membunuh diri.

Beliau menyatakan pengalaman itu menjadikannya lebih komited untuk menarik perhatian mengenai kesihatan mental, satu usaha yang diperjuangkan bersama isteri, Kate dan adiknya, Putera Harry.

Sebelum menamatkan syif terakhir, William digambarkan sebagai ‘juruterbang hebat dan dihargai anggota-anggota kumpulan’ oleh Ketua Eksekutif Ambulans Udara East Anglian, Patrick Peal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.