Pendapatan Negara Meningkat 50 Peratus Menerusi NTP

KUALA LUMPUR, –  Dasar kerajaan seperti Program Transformasi Negara  (NTP) memberikan penekanan khusus bagi memastikan tenaga kerja belia mendapat pekerjaan, dengan 1.8 juta pekerjaan telah diwujudkan antara 2010 dan 2016.

Daripada jumlah ini, lebih satu juta merupakan pekerjaan berpendapatan tinggi. 

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata menerusi NTP, Pendapatan Negara Kasar meningkat hampir 50 peratus dengan kadar kemiskinan di Malaysia hampir dibasmikan,berjaya dikurangkan kepada hanya 0.6 peratus.

“Kita mengekalkan inflasi dan pengangguran pada kadar rendah, dan dalam masa yang sama mendapat pengiktirafan daripada institusi global seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa atas pembaharuan yang diambil.  

“Kita berada di landasan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi. Pendek kata, kita mempunyai pelan ekonomi. Pelan itu berjaya dilaksanakan, dan kita akan terus menjayakannya,” kata Najib semasa ucap tama beliau semasa Forum Transformasi Global 2017 yang diadakan baru-baru ini.   

Beliau berkata bagi membantu golongan berpendapatan rendah berdepan dengan kenaikan kos hidup, dan juga meransang aktiviti ekonomi dalam pasaran pengguna, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diperkenalkan pada 2012 dan memberi kelegaan kepada 7.28 juta isi rumah dengan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan pada 2016.

“Satu alasan mengapa NTP sangat berjaya, dan mengapa kami dapat memperkenalkan program seperti BR1M dan pelbagai pelan perumahan yang disasarkan, adalah disebabkan kami mengekalkan tumpuan utama kepada dua bahagian, iaitu modal insan dan kesalinghubungan,” katanya. 

Najib juga menyenaraikan program di bawah NTP, termasuk pusat inovasi baharu, peningkatan peluang pekerjaan kepada siswazah, meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor tenaga kerja dan menyokong wanita menganggotai lembaga pengarah dan menyandang jawatan kepimpinan.

Sementara itu, Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) yang dilaksanakan oleh NTP, telah membantu menambah baik taraf hidup isi rumah berpendapatan rendah. 

Program TUKAR diiklankan di akhbar, mendapatkan calon yang layak dan membantu menyediakan kepada para peserta khidmat nasihar pakar daripada mentor yang terlibat dalam program tersebut. 

Inisiatif Program Pembasmian Kemiskinan (1AZAM) di bawah NTP juga membantu rakyat dengan menyediakan peralatan pertanian, biji benih, baja dan racun rumpai. 

Program NTP akan secara tidak langsung meningkatkan ekonomi mampan Malaysia dan kehidupan rakyat, dalam keadaan persekitaran ekonomi dan geopolitik dunia yang tidak menentu. 

Keadaan sukar itu berjaya diharungi dan menurut Penasihat Labour Market Information and Analysis (ILMIA), Lee Chee Sung, ia diterjemahkan kepada pengurangan jumlah  pengangguran.

“Jumlah pekerja menganggur di Malaysia terus berkurangan, turun naik antara 400,000 hingga 500,000 dari 2010-2016,” katanya kepada pemberita semasa Taklimat Ekonomi Negara Ke-23 Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, baru-baru ini.

 “Mencerminkan pertumbuhan kukuh ekonomi, kadar pengangguran stabil dengan pewujudan pekerjaan bergerrak seiring dengan tambahan tenaga buruh tahunan dan peningkatan penyertaan tenaga buruh. 

“Kira-kira 100,000 pekerjaan baharu diwujudkan pada 2016 dan bilangan itu serta bahagian pekerjaan mahir dalam tenaga kerja juga mencatatkan aliran meningkat yang positif,” katanya. 

Antara 2001 dan 2015, 20 peratus pekerjaan yang diwujudkan dikelaskan sebagai mahir, 52 peratus pertengahan mahir dan 28 peratus kurang mahir.

Pada 2016, golongan lelaki terdiri 61 peratus daripada tenaga kerja dan wanita seramai 39 peratus, manakala lelaki dan wanita yang bekerja dalam kumpulan usia 25-39 masing-masing pada 45 peratus.

Sementara itu, belia berusia antara 15-24 tahun mewakili 18 peratus daripada tenaga kerja, terdiri daripada lelaki dan wanita.  

“Meskipun kelemahan ekonomi baru-baru ini, situasi pasaran buruh Malaysia secara keseluruhannya kukuh, manakala prospek kekal positif dengan risiko pertumbuhan lebih perlahan mencerminkan kebanyakannya persekitaran global,” kata Lee.

–BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.