Kes Dua Suspek Bunuh Kim Jong-Nam Dibicarakan Bermula 2 Oktober

SHAH ALAM –  Mahkamah Tinggi Shah Alam  menetapkan 23 hari bermula 2 Okt bagi perbicaraan dua wanita asing yang menghadapi pertuduhan membunuh Kim Chol atau Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara Kim Jong-un.

Hakim Datuk Azmi Ariffin menetapkan tarikh itu selepas kes itu disebut di hadapannya hari ini.

Warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, dituduh bersama-sama empat yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Feb tahun ini.

Kedua-dua tertuduh yang kelihatan tenang, dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pengakuan daripada kedua-dua tertuduh hanya akan direkodkan pada hari pertama perbicaraan pada 2 Okt.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwa raya untuk kes itu dibicarakan  bersama.

Terdahulu, Pengarah Pendakwaan  Negeri Selangor  Muhamad Iskandar Ahmad,  yang mengetuai pasukan pendakwa raya, memohon bagi kedua-dua tertuduh dibicarakan  bersama-sama kerana kes itu melibatkan perkara sama.

Beliau turut memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan akan memanggil antara 30 hingga 40 saksi termasuk 10 saksi pakar.

Peguam Gooi Soon Seng mewakili Siti Aisyah manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik mewakili  Doan.

Kedua-duanya pertama kali dihadapkan di mahkamah bagi pertuduhan membunuh itu pada 1 Mac di Mahkamah Majistret Sepang.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana hukuman mati terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi dan pada 30 Mei kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Menurut Seksyen 172B  Kanun Acara Jenayah, perbicaraan perlu bermula tidak lebih daripada 90 hari dari tarikh pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Dilaporkan Jong-nam yang hidup terasing daripada adiknya itu berada di  klia2 pada 13 Feb untuk menaiki penerbangan ke Macau apabila dua wanita menghampirinya dan tiba-tiba menyapu mukanya dengan cecair bertoksik yang kemudiannya dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Jong-nam, yang melakukan perjalanan dengan menggunakan pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.  Beliau datang ke Malaysia pada 6 Feb. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.