Israel Ambil Kesempatan Kelemahan Umat Islam

ANKARA – Keputusan Israel untuk menanggalkan alat pengesan logam di pekarangan Masjid Al-Aqsa yang menimbulkan kemarahan umat Islam masih tidak mencukupi, menurut laporan agensi berita rasmi Anadolu Agency yang memetik kata Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

“Israel cuba memburukkan sifat Islamik Baitulmuqaddis melalui tindakan baharu pada setiap hari dengan mengambil kesempatan ke atas kelemahan semasa umat Islam,” kata Erdogan pada satu majlis berkaitan pendidikan tinggi dalam dunia Islam di kompleks kediaman Presi­den di sini, lapor Bernama.

“Mereka yang mengkritik negara kami apabila mendapat peluang kini menjadi senyap secara tiba-tiba apabila isunya adalah Palestin, Baitulmuqaddis atau undang-undang serta hak masyarakat Islam.

“Begitu menyedihkan bahawa berpecah-belah menjadi agenda dalam dunia Islam dan bukannya penyatuan. Konflik dan bukannya keamanan,” kata Erdogan.

Kemarahan tercetus di seluruh Tebing Barat selepas Israel bertindak menutup Masjid Al-Aqsa ekoran kes tembak mati anggota polis pada 14 Julai lalu.

Pekarangan masjid itu dibuka semula dua hari kemudian dengan Israel memasang alat pengesan logam dan kamera pengawasan di pintu pagar.

Seramai tiga warga Palestin terbunuh pada Jumaat lalu dalam protes terhadap tindakan kawalan Israel di tapak suci itu.

Israel sebelum ini enggan menanggalkan alat pengesan logam itu dengan dakwaan langkah kese­lamatan itu turut dilakukan di beberapa tempat suci di seluruh dunia.

Bagaimanapun, desakan dan kecaman antarabangsa menyebabkan Kabinet keselamatan Israel memutuskan untuk mengeluarkan kesemua alat pengesan logam itu semalam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.