Chef Wan ‘Sekolahkan’ Datuk Terlajak Laris

SEBELUM ini, pengasas produk kecantikan yang terkenal dengan tagline ‘Terlajak Laris’, Datuk Aliff Syukri, pernah mencetuskan kontroversi apabila bertindak makan durian sambil bersila di lapangan terbang.

Kali ini, beliau sekali lagi menjadi tumpuan ramai apabila tindakannya makan di tepi jalan di luar negara, menerima kritikan ramai.

Aliff memuat naik video beliau dan keluarga makan di tepi sebatang jalan di Zurich, Switzerland, ke akaun Instagram.

Bersama video itu, Aliff memuat naik kapsyen yang menjelaskan mengapa beliau terpaksa bertindak sedemikian.

“Sedih saya, pergi restoran bawa bekal sebab di sini makanan halal amat susah nak dapat. Baru bercadang nak pesan air untuk buat cover nak tumpang makan, tapi kami kena halau.

“Jadi kami makan saja di tepi jalan,” tulisnya.

Tindakan itu menerima kecaman netizen, termasuk chef dan personaliti terkenal, Chef Wan.

Di ruangan komen, Chef Wan berkata, apa yang dilakukan Datuk Aliff itu boleh mencemar imej pelancong dari Malaysia.

“Ia bukan satu paparan imej yang baik bagi pelancong Malaysia. Datuk (Aliff Syukri) bukan tak berduit.

“Imej rakyat Malaysia perlu dijaga apabila apabila ke luar negara. Tolong hentikannya,” tulis Chef Wan.

Kata Chef Wan lagi, apa yang dilakukan Datuk Aliff itu boleh disalah tafsir sebagai riak oleh masyarakat dan ia memberi imej negatif kepada golongan berada.

“Riak bukan sahaja tidak baik dalam agama, tetapi juga boleh menjejaskan imej seseorang.

“Berlebih-lebihan dalam melakukan sesuatu hanya akan menjadikan kita bahan kutukan orang ramai.

“Anda mungkin ada duit, tapi duit tidak boleh beli kelas,” nasihat Chef Wan.

Kebanyakan restoran di Malaysia, apatah lagi di luar negara menegaskan peraturan standard iaitu tidak membenarkan pelanggan membawa makanan sendiri dan menggunakan tempat duduk di dalam premis mereka.

Bagi senario seumpamanya di Malaysia, sesetengah orang berpendapat bahawa perkara itu boleh ‘dimaafkan’ jika sekurang-kurangnya memesan air di tempat tersebut.

Di luar negara pula, tindakan sebegitu masih dianggap tidak wajar dilakukan.

Soal membawa bekal makanan sendiri juga sesuatu yang tidak salah, namun terdapat tempat yang disediakan khusus untuk tujuan menjamu selera secara berkumpulan seperti di taman awam dan tempat hentian khas. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.