‘Bukan Melatah, Sekadar Pertahan Diri’ – Haqiem Rusli

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Haqiem Rusli, menegaskan beliau bukan seorang yang mudah melatah seperti dianggap segelintir pihak gara-gara tindakannya membalas komen kritikan netizen mengenai cara nyanyiannya membawakan lagu, Tergantung Sepi, dalam sebuah program televisyen.

Haqiem atau nama penuhnya Ridzuan Haqiem Rusli, 18, berkata beliau tidak pernah berasa hati dengan komen negatif netizen sebelum ini, tetapi tindakannya membalas kritikan mereka baru-baru ini adalah bagi mempertahankan diri selain menjelaskan situasi sebenar.

“Ada sebab saya membalas komen mereka dan saya bukannya melatah. Mereka bertanya, kenapa saya tidak nyanyikan lagu itu seperti versi asal? Jadi, saya terangkan kepada mereka, bukan mudah untuk membawakan Tergantung Sepi secara langsung.

“Jujurnya, ketika merakamkan lagu terbabit, berkali-kali saya mengulangi nyanyian bagi mendapatkan yang terbaik dan saya mahu peminat berpuas hati apabila mendengar lagu ini.

“Apabila diminta menyanyikan secara langsung, ada masanya saya akan mengubah sedikit atau menurunkan ‘key’ mengikut kemampuan vokal. Takkan saya nak malukan diri jika tahu tidak mampu membawakan lagu bernada tinggi?” jelasnya kepada BH Online.

Minggu lalu, peminat artis remaja itu meluahkan rasa kecewa dengan nyanyiannya. Mereka menganggap penyanyi itu tidak mampu membawakan lagu sendiri secara langsung dalam program Twit Twit. Program berkenaan juga dimuat naik ke laman Youtube, Jumaat lalu.

Ekoran itu, Haqiem tampil membalas kritikan netizen dan bertindak jujur dengan mengakui beliau sukar menyanyikan versi asal lagu itu.

Haqiem turut berkata, walaupun masih muda, beliau perlu bersikap matang dalam menangani isu yang timbul, terutamanya membabitkan peminat dan netizen di media sosial.

Malah, ada masanya beliau akan membalas komen mereka dengan cara matang untuk menjelaskan perkara sebenar berhubung apa-apa situasi yang terjadi.

“Buat semua, jangan mengharapkan seseorang penyanyi itu sentiasa sempurna. Ada masanya kami penat, jadi lagu akan diubah mengikut kemampuan agar tidak sumbang.

“Bagaimanapun, komen balas saya ini lebih ke arah kebaikan apabila ramai yang faham dengan penjelasan itu. Bagi yang mengutuk, saya abai dan maafkan mereka,” tutur Haqiem.

Dalam perkembangan lain, Haqiem kini berjinak-jinak dalam penghasilan lagu dan terbaru, beliau menghasilkan single kedua penyanyi, Irfan Haris, berjudul Pesan.

Dalam pada itu, Haqiem juga sibuk menyiapkan lagu untuk beberapa penyanyi lain.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.