Atlet Olahraga Perbaharui Rekod Kebangsaan Dengan Catatan 39.62 Saat

KUALA LUMPUR – Atlet olahraga acara 4x100m lelaki negara memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara itu di Kejohanan Olahraga Terbuka Vietnam hari ini.

Khairul Hafiz Jantan, Badrul Hisyam Abdul Manap, Jonathan Nyepa dan Muhammad Haiqal Hanafi mencipta masa 39.62 saat untuk memenangi pingat emas.

Mereka memadam rekod 39.67 saat yang dibuat oleh Jonathan, Mohd Izzudin Yahaya, Harith Ammar Mohd Sobri dan Nixson Kennedy pada Sukan SEA Singapura 2015.

Atlet tuan rumah memperoleh perak dan gangsa dengan catatan 40.57 saa dan 41.19 saat.

Ketua jurulatih kebangsaan  Zainal Abas amat teruja dengan pencapaian atletnya.

“Saya amat berbangga dengan apa yang mereka capai dan saya pasti jurulatih Mohd Poad Md Kassim akan terus memajukan mereka. Ini baru permulaan buat mereka.  Haikal baru berumur 18 tahun, Khairul 19 tahun, Badrul 20 tahun dan Nathan 21 tahun.

“Ini pasukan muda dan saya yakin kita boleh mengharap lebih lagi daripada mereka dan rekod ini tidak akan bertahan lama,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.