Aliff Aziz Ditahan Polis Pukul Isterinya Ketika Dalam Pantang

KUALA LUMPUR – Seorang artis lelaki kelahiran Singapura atau lebih dikenali sebagai Aliff Aziz kini ditahan kerana dikatakan memukul isterinya di sebuah pusat hiburan di Cheras, petang semalam.

Mangsa yang masih dalam pantang anak pertama itu dikatakan ke premis hiburan berkenaan bersama ibunya kira-kira jam 4.30 petang untuk mencari suaminya.

Sebaik tiba, mangsa marah apabila mendapati suaminya yang berusia 26 tahun bersama wanita lain dalam sebuah bilik karaoke, lalu mengambil gambar mereka sebelum berlaku pertengkaran mulut antara pasangan suami isteri itu.

Artis berkenaan dikatakan berang sebelum telefon bimbit isterinya dan memadam gambar bukti diambil sebelum mencampakkan telefon ke arah mangsa.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin, berkata kejadian mengakibatkan mangsa luka di muka dan lutut akibat dipukul, selain mendakwa ditolak dengan siku oleh suaminya.

“Selepas kejadian, artis terbabit meninggalkan pusat hiburan berkenaan bersama wanita di bilik berkenaan dan meninggalkan isterinya sendirian yang menahan kesakitan.

“Mangsa menerima rawatan pesakit luar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan tampil membuat laporan polis selepas itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kok Sin berkata, pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga November tahun lalu dan dikurniakan seorang anak lelaki berusia 20 hari.

Susulan laporan itu, artis berkenaan ditahan pada jam 2.30 pagi tadi di Jalan Peel, Cheras dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 18(A) Akta Keganasan Rumah tangga (KRT) 1994.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.