Ahli NGO Sertai Demonstrasi Bantah Kekejaman Israel

MELAKA – Hampir 100 ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan umat Islam di negeri ini berhimpun secara aman bagi menyatakan bantahan mereka terhadap kekejaman tentera Israel yang sebelum ini menutup Masjid Al-Aqsa.

Kesemua mereka yang memegang poster serta sepanduk anti-Israel berhimpun selama kira-kira setengah jam sebaik sahaja selesai solat Jumaat di pekarangan Masjid Al-Azim di sini meminta umat Islam bersatu menentang kezaliman rejim Yahudi itu.

Antara NGO yang menyertai perhimpunan aman itu adalah Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Gerakan Belia 4B Malaysia, Persatuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dan Majlis Gabungan Belia Daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

Presiden DMDI, Tan Sri Mohd. Ali Rustam dan Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Mohd. Nizam Omar yang mengetuai himpunan itu turut mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertindak lebih tegas menangani pergolakan yang berlaku di bumi Palestin. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.