56 Kes Gigitan Anjing Dikesan Di Sarawak Semalam

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak semalam menerima laporan 56 kes berkaitan gigitan anjing yang terdiri daripada 14 kes di bahagian Serian, 38 kes di bahagian Kuching, dan masing-masing dua kes di bahagian Sri Aman dan Samarahan.

Ia adalah sebahagian daripada langkah-langkah pengawasan dan “Pengesanan Kes Aktif” (ACD) yang dilaksanakan Jabatan itu sebagai salah satu agensi yang terlibat dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBNS) Sarawakbagi mengekang kes jangkitan rabies di negeri ini.

Sekretariat JBNS dalam satu kenyataan semalam berkata ia menjadikan bilangan kumulatif kes-kes gigitan anjing yang dikesan di kawasan-kawasan berkenaan sejak 1 April sehingga semalam berjumlah 1,016 kes.

Menurutnya 41 daripada kes gigitan itu diberi suntikan vaksinasi anti-rabies hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kini 624 kes diberi suntikan.

Selain itu menurutnya sehingga kini Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS) telah mengadakan 121 kempen kesedaran mengenai wabak penyakit rabies di kampung-kampung dan sekolah di kawasan terlibat yang dihadiri oleh 25,682 orang peserta.

Sejak Kementerian Kesihatan mengumumkan mengenai penularan jangkitan rabies atau penyakit anjing gila terhadap manusia di daerah Serian awal bulan ini, lima orang telah meninggal dunia akibat penyakit itu, dengan yang terakhir membabitkan seorang lelaki berumur 52 tahun pada 23Julai lepas, namun sejak itu tiada lagi jangkitan ke atas manusia dilaporkan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.