Produk Kecantikan Siti Terus Dapat Pengiktirafan

KUALA LUMPUR – Hampir lima tahun mengukuhkan jenama SimplySiti, Datuk Siti Nurhaliza selaku pengasas produk kecantikan itu boleh berbangga apabila kejayaan demi kejayaan diraih.

 

Terbaharu, produk tempatan itu diiktiraf oleh Malaysia’s Strongest Brand Award 2016 bagi kategori Jenama Kecantikan pada majlis yang berlangsung di ibu negara, semalam.

 

Penyanyi Bukan Cinta Biasa itu memaklumkan mengenai berita gembira berkenaan di laman Instagram miliknya, sebentar tadi.

 

Bagaimanapun, atas masalah kesihatan, Siti memberitahu beliau tidak dapat menerima sendiri anugerah terbabit.

 

“Alhamdulillah. Tahniah buat semua pasukan Official Simplysiti, penasihat kecantikan dan pelanggan yang terus mempercayai jenama ini.

 

“Usaha pasukan daripada Siti Nurhaliza Production dari skop kerjaya seni dan Simplysiti (perniagaan) banyak membantu kejayaan ini.

 

Ia terus menyuntik semangat baharu untuk kami memberikan yang terbaik,” katanya kepada BH Online. Menurut penyanyi itu, bersaing dengan produk jenama antarabangsa yang sudah sekian lama bertapak kukuh bukan perkara mudah.

 

“Namun, tiada apa yang mustahil jika niat itu ikhlas (dalam) memberikan perkhidmatan terbaik buat pengguna. Tidak dilupakan tulang belakang Siti, iaitu peminat dan rakan media, yang tak putus-putus memberikan sokongan jitu.

 

Pada masa sama, Siti percaya setiap usaha juga takkan menjadi tanpa izin Tuhan. Justeru Siti yakin, dengan berdoa dan sentiasa bersyukur terhadap setiap pemberian-Nya, ia menjadi kunci utama kejayaan ini,” katanya.

 

Beberapa tahun lalu, Siti menerima anugerah Inaugural Malaysia Women Of Excellence Awards dan Jewel Of Muslim World Awards, hasil pencapaian seni serta perniagaannya.-BH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.