Pemain Perak, PDRM Digantung 2 Tahun Positif Doping

KUALA LUMPUR – Dua pemain bola sepak Liga Super, masing-masing mewakili pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Perak, digantung dua tahun daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak ekoran positif ujian doping.

 

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini berkata Muhammad Shafiq Jamal (PDRM) dan Muhammad Firdaus Saiyadi (Perak) digantung dari 9 Jun 2016 hingga 8 Jun 2018.

 

Keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM yang bermesyuarat pada Selasa lepas, berdasarkan ujian sampel air kencing kedua-dua pemain itu selepas perlawanan Liga Super di antara PDRM dan Perak di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 4 Mei lepas.

 

“Pemain didapati positif ujian doping dan didapati bersalah kerana melanggar Artikel 6 Peraturan AFC Anti-Doping 2016 berkenaan Peraturan Anti-Doping,” kata kenyataan itu.

 

Pada 13 Jun lepas, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM Abdul Aziz Yeop Jamaluddin mendedahkan dua pemain tempatan didapati positif ujian doping.

 

Beliau berkata dua pemain itu mewakili pasukan Liga Super Perak dan PDRM didapati mengambil bahan terlarang D-methamphetamine, sejenis dadah perangsang yang tersenarai dalam bahan larangan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA).

 

Sebelum ini, pemain Kelantan Zamri Ramli gagal ujian doping pada final Piala FA 2013 menentang Johor Darul Ta’zim (Johor DT). – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.