Malaysia Airlines Yakin Catat Untung Menjelang 2018

PUTRAJAYA – Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Bhd yang baharu, Peter Bellew, yakin syarikat penerbangan nasional itu akan mencatatkan untung menjelang 2018 dan menyasarkan untuk disenaraikan semula di bursa saham tempatan pada Mac 2019.

 

Beliau berkata, rancangan penyenaraian semula itu, bagaimanapun akan bergantung kepada keadaan pasaran.

 

Bellew yang dilantik pada 1 Julai lalu berkata, syarikat penerbangan nasional itu mempunyai banyak perkara yang akan dilaksanakan dalam beberapa tahun ini bagi memastikan ia mencapai matlamatnya untuk pulang modal menjelang 2018.

 

Katanya, pelan perniagaan syarikat akan kekal sama seperti yang ditetapkan sebelum ini dan pihaknya tidak bercadang untuk mengurangkan lagi jumlah pekerja buat masa ini.

 

Beliau berkata, hanya sedikit perubahan akan dibuat syarikat penerbangan itu dalam beberapa bulan akan datang membabitkan aspek pemasaran dan jualan.

 

“Dalam tempoh enam bulan akan datang, kami akan mempertingkatkan usaha jualan dan pemasaran dengan promosi harga tambang secara agresif berbanding sebelum ini.

 

“Sempena sambutan ulang tahun Boeing ke-100, kami menawarkan tambang yang murah bagi hampir 100,000 tempat duduk pesawat Boeing.

 

“Kami turut menawarkan jualan murah bagi laluan London yang memperlihatkan tempahan bagi laluan itu meningkat 400 peratus dalam tempoh beberapa hari,” katanya pada sidang media selepas memeterai janji niaga dengan Boeing untuk membeli 50 pesawat Boeing 737 MAX di sini, hari ini.

 

Mengenai pesawat Airbus 380, Bellew berkata, berdasarkan rancangan, pihaknya akan meneruskan operasi pesawat itu sehingga pertengahan 2018.

 

Katanya, syarikat penerbangan itu kini menggunakan pesawat berkenaan untuk laluan London dan akan menerima baki pesawat berkenaan tahun depan dan 2018.

 

Beliau juga menolak kemungkinan untuk memasukkan Amerika Syarikat (AS) ke dalam rancangan laluan syarikat penerbangan itu kerana operasi bagi laluan berkenaan terlalu mahal.

 

“Amat mahal untuk memajak pesawat dan saya melihat lebih banyak peluang di rantau ini daripada menawarkan penerbangan ke AS,” katanya.-BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.