Lesap Hampir RM10,000, Mahu Selamatkan Anak

BANDAR SERI JEMPOL – Ibu kepada seorang Ahli Majlis Daerah Jempol (MDJL) kerugian hampir RM10,000 selepas terpedaya dengan dakwaan anaknya ditahan polis kerana memiliki dadah.

 

Dalam kejadian Selasa lalu, Yue Tin Hoi, 66, menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa sebagai pegawai kanan polis dan memberitahu anaknya, Chong Fui Ming, 39, ditahan kerana memiliki dadah seberat 150 gram.

 

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd Noor, berkata lelaki terbabit meminta mangsa membayar RM100,000 untuk melepaskan anaknya, tetapi mangsa memberitahu hanya mempunyai RM10,000.

 

Katanya, mangsa yang tinggal di Kampung Gatco dekat sini, menunggang motosikal untuk ke sebuah bank di pekan Bahau dekat sini lalu memasukkan wang RM9,250 ke dalam akaun yang diberi suspek.

 

“Wanita itu bergegas ke pejabat anaknya di pekan itu dan diberitahu Fui Ming yang bekerja sebagai akauntan, berada di Kuala Lumpur kerana urusan kerja dan bukan ditahan atas kes dadah,” katanya di sini, hari ini.

 

Noorzainy berkata, siasatan awal mendapati suspek tidak membenarkan mangsa memutuskan panggilan telefon sejak mula dihubungi hingga proses memasukkan wang ke dalam akaun selesai.

 

Beliau berkata, mangsa yang menyedari ditipu membuat laporan kira-kira jam 5 petang hari yang sama di Balai Polis Bahau, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.-BH

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.