Khairul Tak Sangka Dapat Pecah Rekod Watson Nyambek

Atlet kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan, yang mewakili Melaka dalam Sukan Malaysia (Sukma) 2016 muncul manusia terpantas negara apabila meleburkan rekod kebangsaan 18 tahun milik Watson Nyambek di Stadium Sarawak, Kuching, petang semalam.

 

Khairul mencatat 10.18 saat untuk merangkul emas manakala rakan senegeri, Badrul Hisyam Abdul Manap, berkongsi pingat perak dengan atlet tuan rumah, Jonathan Nyepa, yang kedua-duanya diberi catatan 10.36 saat.

 

Rekod lama Watson adalah 10.30 saat yang dicatatkan dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1998.

 

Ditemui selepas itu, Khairul berkata dia masih terkejut dengan pencapaian luar biasanya itu.

 

“Saya tak sangka sebenarnya sebab saya baru balik dari Poland. Jadi, memuncak di sini merupakan satu kejutan, apatah lagi berjaya memecah rekod Watson di negeri Sarawak sendiri.

 

“Dalam latihan, masa yang saya catat adalah sekitar 10.44 saat dan 10.59 saat. Saya sendiri tidak sangka boleh pecah rekod ini,” tambahnya.

 

Menurutnya, ketika berada di blok pelepasan, rasa takut dan gementar memang tidak dapat disembunyikan.

 

“Perasaan takut itu memang ada. Namun, saya diingatkan oleh jurulatih agar ingat kembali latihan yang dijalani sebelum ini.

 

“Badrul pun ada beri kata-kata semangat manakala ayah dan keluarga saya turut datang memberi sokongan.

 

“Mungkin dengan semangat dan sokongan mereka inilah saya boleh buat ini…lari dengan terbaik,” katanya.

 

Menurutnya, tumpuannya selepas ini adalah untuk meningkatkan lagi masa yang telah dicapai ini.

 

“Malah Watson sendiri memberi dorongan kepada saya dan saya berasa gembira rekodnya dapat dipecahkan,” katanya.

 

Khairul menambah, sejurus menang, orang pertama yang dicarinya ialah ayahnya yang berada di stadium dan menghubungi ibunya di Melaka, untuk merakamkan kegembiraan.

 

“Kedua-duanya menangis dan saya sendiri sebak dengan kejayaan ini. Syukur,” tambahnya. – StadiumAstro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.