Khairul Hafiz Cipta Rekod Kedua Dalam Masa 24 Jam

KUCHING – Raja Pecut Sukma, Khairul Hafiz Jantan membuktikan seleranya belum berkurangan apabila berjaya memecahkan rekod kejohanan acara 200 meter petang ini, kurang 24 jam selepas mencipta rekod kebangsaan 100 meter.

 

Catatan 21.14 saat di pusingan separuh akhir acara 200m di Stadium Sarawak itu mengatasi rekod 14 tahun milik bekas pelari pecut negara berasal dari Terengganu, Nazmizan Muhammad iaitu 21.33s yang dilakukan di Sukma 2002 di Sabah.

 

Persembahan cemerlang Khairul Hafiz itu pasti menjanjikan sesuatu yang menarik di final yang akan diadakan pada pukul 9.30 pagi esok.

 

“InsyaAllah…saya akan cuba buat yang lebih baik esok,” katanya kepada pemberita.

 

Atlet berusia 18 tahun dari Melaka itu pernah mencatat masa 21.01s di separuh akhir Kejohanan Remaja Asia ke-17 di Ho Chi Minh, sebelum berpuas hati dengan 21.15s di perlumbaan akhir untuk membawa pulang pingat perak.

 

Ketika ini rekod kebangsaan 200m masih milik Tan Sri M. Jegathesan iaitu 20.92s yang dicatat di temasya Sukan Olimpik 1968 di Mexico.

 

Atlet muda itu kini menjadi sebutan selepas berjaya memecahkan rekod 100m 10.30s berusia 18 tahun milik Watson Nyambek dengan catatan baharu 10.18s, semalam. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.