Grand Felda House Di London Dapat Tempahan Memberangsangkan

LONDON – Grand Felda House, asrama antarabangsa kedua milik Felda Investment Corporation (FIC) di London, akan mula dibuka kepada pelajar dari seluruh dunia apabila sesi baharu universiti bermula September ini.

 

Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Samad, berkata buat masa ini, 40 peratus daripada keseluruhan 802 bilik di asrama itu sudah ditempah dan ia dijangka meningkat apabila sesi baharu bermula.

 

“Pelajar mendapati lokasi ini, yang berhampiran stesen kereta api dan kereta api bawah tanah, amat mudah untuk mereka berulang-alik ke universiti masing-masing,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Grand Felda House dan majlis sambutan Hari Raya FELDA bersama-sama masyarakat Malaysia di Hotel Grand Plaza, di sini, semalam.

 

Tahun lalu, FIC, yang juga sayap pelaburan FELDA, membeli asrama antarabangsa pertamanya di London dikenali sebagai Felda House, yang terletak berdekatan.

 

Semua 450 bilik di asrama itu habis ditempah.

 

Isa berkata, FIC akan terus mengeksploitasi kedudukan London sebagai satu hab pendidikan terkemuka dunia.

 

“Cabaran yang dihadapi selepas Britain mengumumkan untuk keluar dari Kesatuan Eropah telah mewujudkan suasa ketidaktentuan dalam kalangan pelabur. Namun, ia tidak menggugat keyakinan FIC.

 

“Permintaan untuk penginapan pelajar tidak akan berkurangan, walaupun dalam keadaan berjimat dan krisis ekonomi,” katanya.

 

Beliau juga optimis dengan kejatuhan nilai mata wang British, yang menjadikan yuran universiti tidak begitu mahal dan berharap permintaan untuk penginapan pelajar akan terus meningkat.

 

Setiap bilik di Grand Felda House, seperti di Felda House, dibina untuk memberi keselesaan dan kemudahan penghuninya.

 

Antara kemudahan disediakan adalah Wi-Fi percuma, kolam renang, gimnasium, bilik dobi, dewan menonton wayang, dapur bersama dan juga bilik beriadah.

 

Isa menambah, kemudahan seperti kolam renang juga boleh diguna oleh penghuni Felda House.

 

Selain penginapan untuk pelajar, FELDA juga memiliki Grand Plaza Serviced Apartments di Bayswater dan Park City Grand Plaza di Kensington, barat London. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.