Gesa adakan PRN hanya taktik Guan Eng

SHAH ALAM – Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menggesa Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan segera di negeri itu merupakan satu taktik politik, kata penganalisis politik.

 

Penganalisis politik dari Universiti Sains Islam Malaysia, Mohd Azmir Mohd Nizah, ia bertujuan menyelamatkan Pulau Pinang daripada jatuh ke tangan musuh politiknya.

 

“Ini adalah salah satu jalan selamat yang digunakan DAP untuk mengekalkan penguasaan DAP ke atas negeri itu dalam masa setahun atau dua tahun ini.

 

“Adalah penting bagi DAP mengekalkan kuasa ke atas Pulau Pinang terutamanya sebelum menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

 

Selain itu, katanya lagi, gesaan yang dibuat oleh Guan Eng mungkin bertujuan untuk mengekalkan persepsi positif masyarakat terhadapnya.

 

“Jika PRN berlangsung, antara yang akan dibangkitkan adalah isu ketelusan kerajaan. DAP mungkin akan membandingkan antara partinya dengan parti lain untuk meraih sokongan rakyat,” ujarnya lagi.

 

Mohd Azmir bagaimanapun tidak bersetuju dengan gesaan yang dibuat oleh Guan Eng selain menegaskan ia adalah satu bentuk pembaziran kepada wang rakyat.

 

“Saya tidak rasa (PRN) adalah keperluan memandangkan PRU sudah dekat. Saya tidak fikir ia sebenarnya satu kemestian untuk mengadakan PRN,” katanya lagi.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.