Forum Skandal RM400 Juta Azmin Ali?

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli belum mengeluarkan sebarang kenyataan berbentuk penafian berhubung kain rentang penganjuran forum bertajuk Skandal RM400 juta Azmin Ali yang dipasang di beberapa lokasi sekitar Shah Alam dan Lembah Klang.

 

Namanya dikaitkan sebagai pemain utama menganjurkan forum itu yang dijangka berlangsung di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada Sabtu ini jam 9 malam.

 

Beliau dikatakan antara tiga ahli panel forum itu. Dua yang lain ialah Pengarah Eksekutif C4 Centre, Cynthia Gabriel dan Pengarah Eksekutif National Oversight & Whistleblowers (NOW), Akmal Nasir.

 

Kewujudan kain rentang itu menimbulkan tanda tanya orang ramai kerana forum berkenaan dikatakan dianjurkan oleh pihak yang menyokong PKR, manakala tajuknya disasarkan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali iaitu Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR.

 

Bagaimanapun, Akmal telah tampil menafikan penglibatannya dalam forum itu yang kononnya diadakan untuk mendedahkan salah laku Mohamed Azmin.

 

Beliau yang turut memaklumkan perkara itu kepada Rafizi dan Cynthia mengecam sekeras-kerasnya kewujudan kain rentang berkenaan yang melibatkan nama mereka bertiga.

 

Namun, menurut Akmal, setakat ini Rafizi masih gagal dihubunginya untuk mendapatkan pengesahan itu.

 

“NOW dan C4 tidak terlibat sama sekali dengan ‘forum pendedahan’ itu. Malah, kami tidak tahu menahu kewujudannya,” tegas beliau kepada media, semalam.

 

Kain rentang itu dipasang pihak tertentu di sekitar Tasik Shah Alam di Seksyen 14, Shah Alam.

 

Rafizi yang juga Naib Presiden PKR sebelum ini pernah menimbulkan kontroversi dengan menyerang pentadbiran Mohamed Azmin yang disifatkannya sebagai penuh dengan perasuah wang dan menjadikan wanita sebagai balasan projek.

 

Kes tersebut telah dibawa ke pengetahuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan hasilnya adalah penangkapan seorang pemimpin kanan PKR Selangor yang pernah menjadi Ahli Parlimen Kapar.-MG

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.