Asalnya Benci, Akhirnya Peluk Islam Lepas Mimpi Syurga

KUALA LUMPUR — Daripada seorang yang anti-Islam, Soon Lian Chong membuat pusingan “U” untuk mendalami Islam sehingga akhirnya keluar daripada agama Buddha.

 

Semuanya gara-gara mimpi yang berulang-ulang, ternampak kabur lembaga tidak bersuara yang sedang menyuruhnya membuka pintu berwarna putih atau hitam.

 

Ada kala dia bangun dengan senyuman, namun akui pemuda berusia 32 tahun itu, dia lebih kerap terjaga dalam kekeliruan dengan badan berpeluh-peluh hampir dua tahun lamanya.

 

Tercuit rasa ingin tahu selepas mengalami mimpi sama berulang kali, Soon akhirnya mencari jawapan di internet setelah tidak puas hati dengan penerangan kenalan-kenalan rapatnya.

 

“Agak sukar untuk menggambarkan mimpi ini melalui perkataan. Lebih-lebih lagi ketika itu saya sedang tertanya-tanya apa makna tersirat mimpi berada di hadapan pintu yang kelihatan berubah-ubah.

 

“Ada yang bersaiz besar dan kecil membuatkan saya terfikir, macam mana nak masuk melalui pintu saiz sekecil kotak mancis itu,” kata Soon atau nama Islamnya, Danial Ikram Soon Abdullah ketika dihubungi ProjekMMO.

 

Anak ketiga dari empat beradik itu nekad memeluk Islam sejak empat tahun lalu, setelah dua tahun bermimpi, semata-mata kerana yakin bayangan itu menggambarkan pintu syurga dan neraka.

 

Malah dia turut merasakan seperti lembaga itu kononnya bayang Nabi Muhammad yang cuba membawanya ke jalan yang benar, walaupun tidak pernah bersuara.

 

“Pintu dalam mimpi saya itu kelihatan seperti pintu biasa tetapi apa yang buat ia luar biasa adalah selepas membukanya.

 

“Pernah saya melangkah ke dalam pintu itu, saya lihat seperti berada dalam syurga tetapi kebanyakan kelihatan seperti neraka. Saya rasa seram kerana keadaan menjadi gelap hanya nampak api, tulang-tulang manusia dan haiwan,” katanya.

 

Menurut Soon, dia dahulunya tidak suka kepada agama Islam kerana menganggap agama yang bermula pada awal kurun ke-7 itu tidak benar, malah ajarannya zalim.

 

“Namun selepas saya mengalami mimpi ini, semuanya mula berubah dan saya juga semakin memahami Islam kerana ajaran Buddha juga mengajar penganutnya, buat benda baik akan berpeluang masuk ke syurga.

 

“Agama Islam istimewa kerana ia lebih mudah difahami dan berbeza dari segi amalan serta cara hidupnya sebab ada halal dan haram. Saya pun rasa lega selepas bergelar saudara baru,” katanya.

 

Soon mengakui, bahawa dia cuma menceritakan mimpinya kepada isterinya sehinggalah hadir ke sebuah majlis Aidilfitri, lalu kisahnya tersebar kepada seorang wartawan akhbar Sinar Harian.

 

“Terkejut juga sebab saya tak suka sangat berkongsi mengenai kisah mimpi ini sebab tak mahu disalah tafsir,” katanya ringkas.

 

Setelah dipujuk rayu, Soon akhirnya akur kisah mimpi itu dikongsi sebagai pengajaran, kerana mengganggap mimpi itu adalah petunjuk buatnya.

 

“Mungkin Tuhan nak tunjuk sesuatu kepada saya sebab banyak perkara di dunia ini, Allah rahsiakan daripada kita.

 

“Kalau syurga tempat kita legalah tetapi kalau masuk neraka rasa terseksa,” katanya. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.