Saya Sentiasa Setia, Terus Berkhidmat Demi Perkukuhkan UMNO – Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam reaksinya susulan rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menerima secara terbuka penggugurannya dari jawatan Timbalan Perdana Menteri.

 

Muhyiddin menyifatkan keputusan tersebut merupakan hak prerogatif Perdana Menteri dalam menentukan perlantikan mana-mana anggota kabinet yang perlu dihormati.

 

“Saya menerima keputusan YAB Perdana Menteri untuk menggugurkan saya daripada kabinet dengan hati yang terbuka.

 

“Saya menghormati kuasa prerogatif YAB Perdana Menteri untuk melantik dan menggugurkan mana-mana anggota kabinet,” kata beliau menerusi kenyataan yang dikeluarkan melalui laman Facebook rasminya.

 

Beliau juga menjelaskan sepanjang menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri, beliau sentiasa menyokong dasar kerajaan dan kepimpinan YAB Perdana Menteri.

 

“Kecuali dalam isu 1MDB, saya mempunyai prinsip dan pendirian saya sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara.

 

“Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada kabinet maka saya redha,” jelas beliau.

 

Dalam pada itu Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana memberi peluang untuk beliau menggalas tugas sebagai timbalan yang disandang sejak 2009.

 

“Alhamdulillah, saya mengucapkan terima kasih kepada Najib kerana telah memberikan peluang kepada saya untuk berkhidmat dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan sebagai Timbalan Perdana Menteri bermula 10 April 2009.

 

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada semua ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kerajaan, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan semua pihak yang telah menyokong saya sepanjang saya menjalankan tugas sebagai Timbalan Perdana Menteri,” katanya.

 

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO menegaskan walaupun tidak lagi tersenarai sebagai salah seorang anggota Kabinet, beliau akan terus sentiasa dan berkhidmat demi kepentingan parti.

 

“Saya akan sentiasa setia kepada perjuangan UMNO.

 

“Sebagai Timbalan Presiden UMNO, saya akan terus melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada saya dan mencurahkan khidmat bakti saya demi memperkukuhkan parti serta mengembalikan keyakinan orang Melayu dan rakyat kepada UMNO,” ujarnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.