Salleh Umum Letak Jawatan Speaker DUN Sabah

Kota Kinabalu – Datuk Seri Salleh Said Keruak sebentar tadi mengumumkan peletakan jawatan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berkuat kuasa serta merta, sejajar pelantikannya sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.

 

Pelantikan sebagai menteri itu diumumkan dalam rombakan Kabinet Persekutuan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tengah hari tadi.

 

Ditemui di rumahnya, di Likas, dekat sini, Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, berkata pelantikannya adalah satu amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab terutama dalam membentuk sebuah kerajaan yang kuat.

 

“Sebagai pemimpin politik, saya akan buat yang terbaik dalam mengukuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri menerusi kerja berpasukan. Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana dibawa menyertai Kabinetnya.

 

“Saya yakin Kabinet baru ini mampu menjadi satu pasukan yang kuat dalam memastikan agenda pembangunan dan pembaharuan negara dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya.

 

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah dilantik menggantikan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang berpindah sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

 

Mengulasnya tanggungjawabnya dalam kementerian yang diamanahkan, Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, berkata beliau akan meneruskan dasar yang dilaksanakan menteri sebelum ini dan mengukuhkan lagi usaha menerangkan dasar kerajaan kepada rakyat.

 

Salleh berkata beliau akan mengambil pendekatan kerja berpasukan seperti diharapkan Najib agar segala dasar dapat dilaksanakan secara berkesan seterusnya sampai kepada rakyat.

 

“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menyertai Jemaah Kabinet beliau yang baharu diumumkan.

 

“Saya juga ucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Aman atas sokongan kepada pelantikan ini. Insya Allah saya akan memberi perkhidmatan yang terbaik,” katanya kepada pemberita di kediamannya di sini berhubung pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri hari ini.

 

Salleh berkata sebagai seorang pemimpin politik yang telah diberi amanah oleh pucuk pimpinan, sudah tentu beliau akan mengambil kira semua perkara dalam melaksanakan tugas meskipun berdepan banyak cabaran dalam bidang multimedia yang amat luas serta terkini.

 

Mengenai cabaran menghadapi persepsi negatif dibangkitkan pihak tertentu untuk menjejaskan imej kerajaan, Salleh berkata,” Ia dapat diatasi kalau kita menerangkan sebaik-baiknya kepada rakyat tentang dasar-dasar kerajaan dan tentang matlamat kerajaan untuk membawa pembaharuan untuk negara kita Malaysia”.

 

Menurutnya selain bekerja sebagai satu pasukan beliau juga akan menggunakan pendekatan ‘menjelaskan dan berfakta’ agar segala maklumat dan mesej mengenai dasar-dasar kerajaan dapat difahami rakyat secara mudah.

 

Salleh berkata demokrasi yang kuat adalah demokrasi yang matang dan penjelasan sepenuhnya perlu diberikan kepada rakyat dan akhirnya biarlah rakyat yang akan menjadi kuasa penentu dalam sistem pentadbiran negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.