Rombakan Kabinet Perlu Untuk Persediaan PRU

Kuala Lumpur – Rombakan kabinet yang dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak adalah satu langkah konkrit yang bertujuan membaik pulih keadaan agar pentadbiran dapat berfungsi dengan sebaiknya, sekaligus mempersiapkan kepimpinan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

 

Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid berkata, perdana menteri lebih arif mengenai tanggungjawabnya dalam mengepalai pentadbiran negara agar terus seiring ke hadapan.

 

“Apa yang penting tujuan rombakan ini bukan mahu memburukkan keadaan, sudah tentu ia dilakukan untuk menambah baik keadaaan yang ada.. Saya pasti semua pertimbangan sudah dibuat.

 

“Sebagai kapten atau ketua, perdana menteri terpaksa buat begini untuk memastikan pasukan bergerak dengan normal dan berfungsi sebaiknya, sebab kepentingannya untuk rakyat,” katanya ketika dihubungi.

 

Ujar Ehsanuddin, rombakan tersebut bukan sesuatu yang pelik atau pertama kali berlaku di dalam sejarah pentadbiran negara, sambil menambah rakyat tidak perlu membuat spekulasi berlebihan sedangkan ia sesuatu yang normal demi mengukuhkan pentadbiran.

 

“Seperti dalam permainan bola sepak, sekiranya seseorang pemain cedera, kita akan tukar sebab kita nak menang,” ujarnya.

 

“Yang penting, masalah perlu diselesaikan.. jadi kita perlu ada keseragaman, barulah boleh bergerak ke hadapan. Jika tiada keseragaman, bagaimana mahu selesaikan masalah,” kata beliau lagi.

 

Najib hari ini mengumumkan rombakan kabinet yang menyaksikan beberapa menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan daripada senarai.

 

Rombakan tersebut tegas Najib dilakukan bagi memperkukuhkan barisan jemaah Menteri dalam membantu kerajaan menghadapi cabaran menguruskan negara sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

 

Rombakan tersebut menyaksikan seramai tujuh Menteri dan sembilan timbalan menteri baharu telah dilantik menyertai kabinet.

 

Sementara itu Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman menyifatkan rombakan tersebut sebagai satu langkah bagi mengatasi masalah yang bakal dihadapi pada masa akan datang.

 

“Ini tanggungjawab beliau, ini barisan kepimpinan beliau. Jadi apabila ada perubahan semasa, beliau perlu mempunyai barisan yang mencerminkan kepimpinannya bagi mengatasi masalah dan cabaran baru,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.