Rombakan Kabinet: Muhyiddin Kunci Mulut

Seremban – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin enggan bertemu media berhubung spekulasi kemungkinan berlaku rombakan kabinet hari ini.

 

Pemimpin nombor dua negara itu dilihat bergegas meninggalkan majlis, selepas pelancaran institusi pendidikan terbesar di Negeri Sembilan, Matrix Global Schools (MGS), pagi tadi.

 

Dengan spekulasi kencang bertiup mengenai kemungkinan Ahli Parlimen Pagoh itu digugurkan daripada kabinet dan bakal diganti Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Utusan Online melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah memberi senarai baru kabinet kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenankan.

 

Menurut laporan portal berita itu, seorang jurucakap UMNO memaklumkan, Najib sudah menghadap Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bagi mempersembahkan senarai baru anggota kabinet.

 

Difahamkan, Muhyiddin bergegas meninggalkan majlis pagi tadi, untuk bertemu Najib berhubung perkara itu.

 

Muhyiddin yang berdiam diri selama ini, Ahad lalu bersuara dan mencadangkan Najib secara peribadi seharusnya mengetuai penjelasan berhubung isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kepada rakyat.

 

Berucap pada mesyuarat UMNO, Muhyiddin berkata, kerajaan seharusnya tidak memandang remeh sentimen negatif rakyat terhadap cabang pelaburan milik kerajaan itu.

 

Muhyiddin bagaimanapun dilihat tetap ceria menjalankan tugasnya seperti biasa, sambil diiringi Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan ketika keluar dari bangunan sekolah, pada Selasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.