PKR Umum Bertanding Di Kawasan PAS Pada PRU-14

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor hari ini mengumumkan kesediaan mereka untuk bertanding di sekurang-kurangnya lapan lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tambahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

 

Pertambahan kawasan bertanding itu turut melibatkan beberapa kawasan yang sebelumnya diperuntukkan kepada PAS semasa PRU-13 lepas yang menurut PKR dilakukan susulan status Pakatan Rakyat yang telah disahkan berkubur.

 

Pengerusi PKR Johor, Hassan Karim dalam kenyataannya seperti dilaporkan portal Mynewshub mengesahkan antara kerusi DUN yang sebelumnya ditandingi PAS yang dikenal pasti adalah DUN Gambir (Parlimen Ledang), DUN Puteri Wangsa (Parlimen Tebrau) dan DUN Permas (Parlimen Pasir Gudang).

 

“PKR Johor mengambil maklum bahawa Pakatan Rakyat tidak lagi wujud. Berdasarkan kekuatan jentera serta maklum balas akar umbi dan rakyat tempatan, PKR juga memutuskan untuk bertanding sekurang-kurangnya lapan lagi kerusi DUN tambahan.

 

“Setakat ini tiga kerusi DUN yang telah dikenal pasti adalah DUN Gambir, Puteri Wangsa dan Permas,” katanya dalam satu kenyataan media.

 

Perkara tersebut menurut Hassan lagi telah dimaklumkan kepada Pengarah Jabatan Pilihanraya Pusat PKR, Datuk Saifuddin Nasution dan Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin yang akan membawa resolusi PKR Johor itu kepada pimpinan di peringkat pusat.

 

Pada PRU13 lepas, kerusi DUN Gambir ditandingi oleh calon PAS, Datuk Mahfodz Mohamed yang kini merupakan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat. Beliau tewas tipis kepada calon BN dengan majoriti 310 undi.

 

DUN Puteri Wangsa dimenangi PAS melalui calonnya Abdullah Husin dengan majoriti 3,469 undi sementara DUN Permas yang ditandingi Syed Othman Abdullah dari PAS dimenangi Datuk Seri Khalid Nordin dari BN, Menteri Besar Johor sekarang dengan majoriti 5,752 undi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.