Penarafan S&P Bukti Komitmen Kerajaan

KUALA LUMPUR – Kerajaan menyambut baik pengesahan penarafan kredit asing jangka panjang Malaysia pada ‘A-‘ dengan prospek yang stabil oleh Standard & Poor’s (S&P) semalam.

 

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata pengesahan penarafan kredit negara itu adalah bukti usaha berterusan kerajaan memastikan asas makroekonomi yang baik serta komitmennya mengukuhkan kewangan awam.

 

S&P adalah agensi penarafan kedua mengesahkan penarafan A- untuk Malaysia selepas Fitch mengesahkan penarafan keingkaran pengeluar mata wang asing jangka panjang pada A- dan menyemak semula prospek kepada stabil daripada negatif awal bulan ini.

 

“S&P mengiktiraf pengurusan ekonomi yang pragmatik dan komitmen teguh kerajaan kepada pembaharuan fiskal, terutama rasionalisasi subsidi bahan api serta mempelbagaikan pendapatan melalui cukai barang dan perkhidmatan,” kata Irwan dalam satu kenyataan di sini, semalam.

 

Penarafan itu disokong beberapa faktor seperti kedudukan luaran Malaysia yang kukuh sebagaimana dicerminkan lebihan akaun semasa yang berterusan walaupun harga komoditi lebih lemah dan permintaan luar yang rendah serta fleksibiliti monetari yang membantu menyerap kejutan ekonomi.

 

“Pasaran modal yang lebih murah mengurangkan pergantungan kepada pinjaman luar dan pelaksanaan langkah fiskal yang tegas oleh kerajaan turut menyokong penarafan berkenaan,” katanya.

 

Irwan berkata, S&P turut menyatakan keyakinan kepada dasar Malaysia yang responsif dan berkesan. Sehubungan itu, katanya, S&P percaya pelbagai isu menyelubungi 1MDB tidak akan menghalang kesungguhan kerajaan untuk meneruskan pembaharuan ekonomi dan fiskal. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.