Masyarakat Thailand Gesa Kerajaan Buat Rombakan Kabinet

Bangkok – Kerajaan Thailand yang kini mengalami pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan eksport yang berkurangan, kini berdepan dengan tekanan daripada orang ramai yang mahu kabinet dirombak.

 

Bercakap kepada pemberita hari ini, Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha berkata beliau akan mempertimbangkannya apabila tiba masa yang sesuai, mengambil kira faktor-faktor umur serta kesihatan dan bukan kerana tekanan awam.

 

Katanya, beliau mungkin mempertimbangkan rombakan selepas ulang tahun pertama kabinet atau lebih awal lagi.

 

Prayuth dipilih sebagai Perdana Menteri oleh Dewan Perundangan Nasional pada Ogos tahun lepas selepas mengetuai rampasan kuasa pada 22 Mei tahun yang sama yang menggulingkan bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra.

 

Beliau menyampaikan kenyataan dasar kerajaan di Dewan Perundangan Nasional pada 12 September 2014.

 

Beliau berkata kerajaan mendengar suara rakyat yang kadang-kadang tidak gembira atau tidak sabar dengan prestasi kerajaan.

 

Anggota kabinet yang memegang portfolio berkaitan ekonomi, terutamanya Menteri Perdagangan, Jeneral Chatchai Sarikalya, mengalami tekanan agar dirombak kerana rakyat merasakan kerajaan gagal menyelesaikan masalah ekonomi.

 

Prayuth berkata rakyat hanya berfikir tentang ekonomi yang lembap tetapi tidak memberi perhatian kepada faktor-faktor atau sebab-sebab yang telah memberi kesan kepada pertumbuhan negara.

 

Beliau berkata bukan ekonomi Thai sahaja yang terjejas daripada ekonomi global.

 

Sementara itu, Kementerian Perdagangan Thailand mengumumkan eksport negara itu mengecil 4.84 peratus kepada US$106.85 bilion pada separuh pertama tahun ini, dengan sektor pertanian dan industri menunjukkan penurunan.

 

“Baht semakin lemah tidak banyak membantu meningkatkan eksport,” katanya.

 

Kementerian itu berkata dengan prestasi yang lemah, ia akan mengumumkan sasaran eksport yang baharu, disemak semula pada tahun ini, menjelang bulan depan, yang kini ditetapkan pada pertumbuhan 1.2 peratus.

 

Pada separuh pertama, import susut 7.91 peratus kepada US$103.38 bilion.

 

Eksport negara turun sebanyak 7.87 peratus kepada US$18.16 bilion pada Jun, penurunan bulan keenam berturut-turut.

 

Import bulan lepas susut 0.21 peratus kepada US$ 18.01 bilion, yang bermakna Thailand mencatatkan lebihan dagangan sebanyak US$150 juta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.