Lapan Kanak-kanak Antara 55 Warga Asing Yang Ditahan Imigresen Kedah

Alor Setar – Seramai lapan kanak-kanak antara 55 warga asing yang ditahan Jabatan Imigresen Kedah dalam satu operasi di tiga lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini tengah malam Isnin.

 

Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata kesemua mereka ditahan di tiga lokasi berbeza di tapak pembinaan di Jalan Langgar, Kampung Alor Gunung dan Kampung Chegar di sini, dalam operasi yang bermula 12.05 tengah malam.

 

Mereka yang ditahan, katanya, terdiri daripada tiga lelaki warga Indonesia, 11 lelaki Bangladesh serta 23 lelaki dan 10 wanita Myanmar berumur antara 18 hingga 43 tahun.

 

“Kita turut tahan lima kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan warga Myanmar berumur antara dua bulan hingga 9 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini Selasa.

 

Katanya 11 lelaki Bangladesh, tiga lelaki Indonesia, 21 lelaki serta 10 wanita dan lima kanak kanak lelaki serta tiga kanak kanak perempuan Myanmar ditahan kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

 

Mohamad Yusri berkata seorang lelaki Myanmar ditahan kerana memiliki cop keselamatan Imigresen palsu dan disiasat di bawah Sek 56(1)(l) akta yang sama.

 

Katanya seorang lagi warga Myanmar ditahan kerana melanggar syarat pas lawatan yang disiasat dibawah Peraturan 39(b) Peraturan Peraturan Imigresen 1963.

 

Sementara itu seorang lelaki Myanmar yang ditahan Zayzarlim, 23, yang bekerja sebagai buruh kasar tapak pembinaan berkata telah tinggal di negara ini hampir 10 tahun sebelum membawa ahli keluarganya tinggal di negara ini.

 

Dia yang telah berkahwin sejak setahun lepas dan memiliki bayi berusia tiga bulan turut membawa ibu bapanya serta neneknya ke negara ini dan berkampung di rumah kongsi di tapak pembinaan di Jalan Langgar di sini.

 

“Saya dan bapa bekerja di tapak pembinaan manakala ibu, nenek dan isteri tinggal di rumah kongsi untuk urus keluarga,” katanya yang menerima upah RM50 sehari bekerja di tapak pembinaan itu.

 

Sementara itu lelaki Myanmar Saidul Hamid, 18, berkata telah tinggal di negara ini sejak setahun lepas dan masuk ke negara ini menerusi Thailand sebelum tinggal di kem transit di Wang Kelian, Perlis.

 

Katanya dia terpaksa membayar sebanyak RM6,000 kepada pihak sindiket sebelum dibawa keluar dari kem itu sebelum menyewa sebuah rumah bersama rakan lain di Kampung Chegar dengan bekerja kampung. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.