Impian Aeril Ke Hollywood Masih Kabur

Pernah mendapat peluang memgembangkan bakat lakonannya di Hollywood kira-kira tiga tahun lalu apabila menerima tawaran menjalani penggambaran sebuah filem di London, namun pelakon tempatan Aeril Zafrel, 26, kini masih tidak pasti perkembangan filem berkenaan yang dijangka dibintangi dua aktres popular Christina Ricci dan Sharon Stone.

 

“Saya tak pasti dan tidak tahu apa-apa perkembangan mengenai filem itu,” katanya ringkas ketika ditemui pada majlis tayangan media filem terbaharu lakonannya berjudul CCTV di e@Curve Damansara, Selangor, semalam.

 

Begitupun suami kepada pelakon Wawa Zainal ini menyatakan dia tidak berputus asa untuk terus melebarkan kerjayanya ke peringkat antarabangsa.

 

Dedahnya, dia sebenarnya sudah disunting pengarah dan sebuah produksi di Indonesia untuk membintangi sebuah filem bergenre Islamik berjudul Sabda Kekasih.

 

Dia bakal ke negara jiran itu pada hujung tahun ini untuk menjalani penggambaran filem tersebut.

 

“Buat masa ini tidak banyak yang boleh saya kongsikan kerana masih lagi dalam peringkat perbincangan.

 

“Siapa pengarah dan pelakon Indonesia yang terlibat juga saya tidak boleh dedahkan buat masa ini tetapi satu yang pasti, mereka semua adalah nama-nama besar di sana, ” tuturnya.

 

 

Boleh Nampak ‘Benda Halus’

 

Sementara itu, berkongsi pula mengenai CCTV, Aeril menyifatkan ia satu cabaran besar memandangkan pertama kali dia berlakon dalam filem seram.

 

“Ini filem seram pertama saya. Cabarannya, saya ditugaskan untuk bawa watak mengelirukan diri saya sendiri.

 

“Pada saya berlakon filem seram lebih memenatkan daripada berlakon filem genre lain seperti cinta,” katanya yang memengang watak sebagai Hariri, seorang juruteknik televisyen litar tertutup (CCTV).

 

Diarahkan oleh Devan R, filem yang turut dijayakan Hasnol Rahmat dan pendatang baru Ardel Aryana dan Asliza Abdullah ini bakal menemui penonton di pawagam mulai 30 Julai ini.

 

Dalam pada itu, Aeril juga mendedahkan sewaktu menjalani penggambaran filem tersebut telah berlaku satu kejadian menyeramkan ketika di set.

 

“Kami menjalani penggambaran di sebuah hospital lama. Ada satu ketika, pelakon kanak-kanak yang sepatutnya berlakon sebagai hantu dan perlu menakutkan saya tiba-tiba menangis dan ketakutan sehingga tidak mahu meneruskan lakonan.

 

“Rupanya-rupanya dia ternampak ‘sesuatu’ tetapi selepas saya dan pengarah memujuknya dan keesokannya baru dia boleh meneruskan lakonannya,” ujarnya.

 

Terlanjur bercerita, Aeril menyatakan dia juga mempunyai kelebihan boleh melihat ‘mahkluk halus’.

 

“Saya juga boleh lihat sebab kadang-kadang hijab tu terbuka tetapi saya tak mahu memperkatakan lebih tentang perkara ini sebab bimbang ada pihak yang salah tafsir.

 

“Cuma, saya ada pengalaman yang mana arwah ibu bapa saya meninggal dunia akibat terkena ilmu hitam. Selepas mereka meninggal dunia, saya sakit.

 

“Kemudian saya berubat dan belajar lebih lagi ilmu agama jadi secara tidak langsung saya tahu mengenai perkara alam ghaib ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.