Gempa Kuat Di Papua Ragut Nyawa Remaja

Jayapura – Seorang remaja maut, ketika gempa kuat melanda Papua, di timur Indonesia, pada pagi tadi.

 

Lelaki berusia 15 tahun itu sedang memancing di sebatang sungai, sebelum dia terjatuh dan lemas dalam sungai, ketika gempa melanda.

 

Mayat mangsa kemudiannya ditemui penduduk setempat.

 

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat, gempa berukuran 7.0 pada skala Richter itu menggegarkan sebuah kawasan pergunungan di Papua, kira-kira 250 kilometer dari barat wilayah Jayapura, pada jam 6.41 pagi waktu tempatan.

 

“Gempa kuat itu dirasai selama empat saat. Penduduk berlari keluar dari rumah mereka,” kata jurucakap Agensi Bencana Kebangsaan Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho.

 

Anggota penyelamat cuba memasuki kawasan bencana berdekatan pusat gempa di daerah Memberamo.

 

Gegaran kuat itu menyebabkan sebuah rumah runtuh, manakala sebuah lagi kediaman rosak sebahagiannya di bandar Kasonaweja, tidak jauh dari pusat gempa, di mana pesakit dipindahkan dari sebuah hospital, selepas dinding bangunan merekah.

 

Pihak berkuasa Indonesia dan Pusat Amaran Tsunami Pasifik memaklumkan, tiada ancaman tsunami dikeluarkan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.