Apandi Pilihan Tepat Sebagai Peguam Negara – Shafee Abdullah

Kuala Lumpur – Peguam kanan Malaysia, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengalu-alukan pelantikan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebagai peguam negara yang baharu dengan berkata beliau orang yang tepat untuk menyandang jawatan itu kerana “memiliki minda yang amat merdeka”.

 

Katanya, Apandi mempamerkan dirinya sebagai manusia yang memiliki minda yang sangat merdeka ketika berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

 

Shafee berkata Apandi mampu membawa budaya baharu dan memperkenalkan budaya sektor swasta ke dalam Jabatan Peguam Negara (AG) dan ini sesuatu “yang amat diperlukan di pejabat AG”.

 

“Beliau pernah berkhidmat di Pejabat Peguam Negara dan menjadi pengamal undang-undang untuk tempoh yang lama. Selepas itu, beliau menjadi hakim.

 

“Oleh itu, beliau akan mampu menerapkan kecekapan dan kepantasan bekerja sektor swasta di Pejabat Peguam Negara serta memperkenalkan budaya sektor swasta seperti yang dilaksanakan bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi dalam badan kehakiman,” katanya mengulas pelantikan Apandi ketika ditemui pada kursus mengenai hak asasi manusia untuk wartawan dari negara anggota Asean di Bangkok.

 

Shafee adalah pengerusi Suruhanjaya Antara Kerajaan Mengenai Hak Asasi Manusia Asean (AICHR).

 

Apandi, yang mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Abdul Gani Patail, adalah peguam negara ke-9 Malaysia.

 

Dalam pengumuman di Kuala Lumpur hari ini, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata perkhidmatan Gani sebagai peguam negara ditamatkan berkuatkuasa 27 Julai atas sebab kesihatan. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.