Tun Maimun Tidak Disambung, Azam Baki Diberi Lanjutan – PAS Tuntut Jawapan

- Advertisement -

CYBERJAYA – PAS hari ini membangkitkan isu ketidakkonsistenan Kerajaan Persekutuan dalam urusan pelantikan dan penyambungan jawatan tertinggi institusi negara, yang disifatkan semakin jelas menunjukkan wujudnya dua standard dan pertimbangan politik.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari, berkata tindakan kerajaan tidak menyambung perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat walaupun mendapat sokongan luas daripada pelbagai pihak, telah menimbulkan tanda tanya besar terhadap asas keputusan yang diambil.

“Ironinya, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang berdepan dengan pelbagai bantahan termasuk daripada ahli Parlimen, tokoh undang-undang serta aktivis anti-rasuah, telah diberikan lanjutan perkhidmatan sebanyak tiga kali – walaupun terdapat kontroversi yang belum dijelaskan secara tuntas kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Fadhli berkata, beliau tidak mempersoalkan kuasa Perdana Menteri dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong, seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, namun menuntut penjelasan berhubung asas pertimbangan sebenar yang digunakan.

“Apakah merit dan integriti masih menjadi asas, atau pertimbangan politik telah mengatasi segala-galanya?” soalnya.

Beliau turut membangkitkan persoalan sama ada keputusan tidak menyambung perkhidmatan Tun Tengku Maimun dibuat kerana ketegasan beliau yang sering tidak sehaluan dengan kehendak kerajaan.

Walaupun PAS mungkin tidak bersetuju dengan semua keputusan Ketua Hakim Negara, Ahmad Fadhli menegaskan bahawa perkara utama yang dipersoalkan ialah konsistensi dan kejelasan kriteria yang digunakan oleh kerajaan.

“Jika ketegasan dan prinsip menjadi sebab ditolak, manakala kontroversi dan pertikaian menjadi alasan untuk dilanjutkan, maka kita sedang menuju ke arah keruntuhan keyakinan rakyat terhadap institusi utama negara,” katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan untuk menjelaskan secara telus keputusan-keputusan seperti ini, kerana ketelusan kini adalah keperluan mendesak dalam menjunjung keluhuran perlembagaan dan kewibawaan institusi.

Menutup kenyataannya, Ahmad Fadhli memberi amaran sinis kepada kerajaan bahawa sekiranya amalan seperti ini diteruskan, rakyat akan memberikan penilaian mereka pada Pilihan Raya Umum akan datang.

“Atau teruskan sahajalah budaya sekarang, kerana walau apa cara sekalipun, anda hampir pasti tidak akan kekal menjadi kerajaan selepas PRU16,” katanya.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat