Semua Pusat Pemindahan Banjir Di Alor Gajah Telah Ditutup

MELAKA – Kesemua dua pusat pemindahan banjir di Alor Gajah dekat sini telah ditutup setakat pukul 5.30 petang ini dan 27mangsa banjir daripada enam keluarga yang ditempatkan di pusat itu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Melaka, Lt. Kol (PA) Effendy Ali dalam kenyataan berkata, pusat pemindahan berkenaan ialah Balai Raya Bukit Balai dan Balai Raya Kampung Pulau di AlorGajah.

Bagaimanapun katanya, di daerah Jasin, hanya empat sekeluarga yang ditempatkan di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Tehel dibenarkan pulang manakala 81 mangsa banjir daripada 18 keluarga masih berada di pusat tersebut.

“Banjir di tiga kampung di Alor Gajah iaitu Kampung Padang Kerbau Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai dan Kampung Pulau dilihat telah mula surut dan tidak membahayakan, justeru penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka itu berkata, pihaknya masih memantau situasi banjir di Kampung Tanjung Laboh dan Kampung Parit Lampong di daerah Jasin.

Katanya, banjir disebabkan beberapa sungai di kawasan itu melimpah akibat hujan lebat pada Isnin lepas. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.