Satu Tan Sampah Dikutip Sepanjang Lebuh Raya Lipis – Gua Musang

KOTA BHARU – Lebih 60 ahli Jabatan Amal Malaysia Negeri Kelantan dan Kuala Lipis, Pahang berjaya mengutip satu tan longgokan sampah-sarap di sepanjang 78 kilometer Lebuh Raya Lipis-Gua Musang pada operasi bersih khas anjuran jabatan tersebut hari ini.

Menurut pengarahnya, Nik Asmawi Nik Abdullah, pihaknya menjalankan operasi bersih khas di lebuh raya tersebut berikutan berita viral di laman sosial mengenai sisa-sisa makanan yang ditinggalkan pengguna jalan raya ketika waktu berbuka dan sahur baru- baru ini ketika dalam perjalanan pulang ke kampung.

“Antara sampah sarap yang ditinggalkan pengguna lebuh raya adalah bekas makanan segera, bekas polistrin, lampin pakai buang, tin minuman dan lain-lain.

“Anggaran sampah- sarap yang dikutip hampir enam jam ini mencecah satu tan. Longgokan sampah kemudian akan dilupuskan di susur keluar Chegar Perah,” jelasnya, lapor Kosmo.

Nik Asmawi turut menasihatkan orang ramai agar menjaga kebersihan alam sekitar terutamnya di musim perayaan ini.

“Kalau orang tuduh rakyat Kelantan pengotor, kita juga yang marah . Tapi sebenarnya ramai lagi rakyat Kelantan yang bukan sifatnya begitu sebagaimana anggota amal kita tunjukkan,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, seramai 32 ahli dari Kelantan menyertai program kali ini dan mereka bertolak dari Kota Bharu ke Gua Musang tengah malam tadi sebelum memulakan operasi kira-kira 8.30 pagi yang berakhir pukul 2 petang tadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.