Polis Tahan Lelaki Cuba Bunuh Dua Anak Perempuan

KOTA KINABALU – Seorang lelaki ditahan polis selepas cuba membunuh dua anak perempuannya berusia empat dan lima tahun di Kampung Suang Parai, Manggatal, dekat sini, petang semalam.

Suspek berusia 30 tahun itu menyerah diri selepas polis mengepung kediaman dan memintanya membebaskan dua anak yang dikurung di bilik dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu.

Terdahulu, suspek dilihat mengacukan pedang samurai ke leher kedua-dua anaknya selain membakar sesuatu di dalam bilik, menyebabkan ahli keluarga lain bimbang lalu menghubungi polis.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata mangsa dipercayai mengalami kemurungan kerana kecewa apabila bekas isterinya yang berada di Johor tidak pulang menyambut Aidilfitri bersama anak mereka.

“Suspek dan anaknya tinggal di rumah keluarga angkatnya. Ketika kejadian, suspek mengurung anaknya dalam bilik di tingkat atas.

“Ketika itu, suspek mengamuk mahu membunuh anaknya, menyebabkan keluarganya bimbang lalu seorang daripada mereka menasihatinya.

“Suspek dipujuk supaya bertenang dan tidak mencederakan anaknya namun tidak dihiraukan sebelum keluarganya menghubungi pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Chandra berkata, polis yang tiba 15 minit kemudian mengepung lokasi kejadian dan memujuk suspek supaya melepaskan anaknya serta menyerah diri.

Selepas beberapa minit memujuk dan berunding, katanya, suspek membawa anak-anaknya keluar dari bilik dan menyerahkan kepada ibu saudara pengadu.

“Suspek kemudian menyerah diri kepada polis dan menunjukkan senjata yang digunakan untuk mengugut anaknya.

“Polis kemudian merampas sebilah pisau pemotong sayur berwarna perak dan sebilah pedang samurai berukuran 40 sentimeter,” katanya.

Suspek dibawa ke Balai Polis Alamesra, di sini, dan direman hingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Chandra berkata, ketika kejadian suspek didapati berada di bawah pengaruh dadah jenis syabu. Polis turut merampas selaras senapang angin milik suspek yang ditemui di lokasi kejadian. Katanya, kedua-dua anak suspek tidak mengalami kecederaan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.