MIC: Penamatan Kontraktor India Bukan Isu Perkauman


Pemimpin MIC P Kamalanathan menafikan bahawa isu seorang kontraktor makanan India di sebuah institusi pendidikan Pulau Pinang yang ditamatkan perkhidmatannya adalah berkaitan perkauman.

“Saya ingin tegaskan bahawa isu itu bukan isu perkauman kerana terdapat empat kontraktor lain yang ditamatkan berdasarkan sebab pentadbiran,” kata Kamalanathan, yang adalah ketua biro pendidikan MIC, dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, satu-satunya pengendali makanan bukan Islam di kantin kampus itu yang menghidangkan makanan India, telah diarahkan supaya berhenti beroperasi atas dakwaan gerainya tidak mematuhi “syariah”.

Posting di Facebook yang dipercayai ditulis oleh seorang pelajar kolej itu kemudiannya menjadi tular.

Isu itu juga tular di Whatsapp, yang dimuatkan dengan rakaman audio yang dikatakan dibuat oleh pengendali gerai makanan itu yang bernama “Gopy”.

Gopy dalam mesej berkata usaha seramai 300 pelajar untuk membuat petisyen agar gerai makanan India di kampus itu tidak ditutup tidak berjaya.

“(Selepas menjalankan gerai) selama enam bulan, (kolej) telah menamatkan kontrak saya kerana ISO patuh syariah di mana orang bukan Islam dilarang menjalankan sebarang perniagaan kerana mereka mendakwa ia sebagai tidak halal,” petik mesej itu.

Bagaimanapun institusi itu menafikan dakwaan tersebut.

Kamalanathan berkata presiden MIC Datuk Seri S Subramaniam sangat prihatin dengan tuduhan perkauman itu dan memintanya supaya menyiasat pertuduhan berkenaan.

“MIC tidak akan bertolak ansur dengan sebarang jika tuduhan didapati benar,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa beliau telah menghubungi pengarah institusi berkenaan yang menjelaskan bahawa empat kontraktor, termasuk pengendali gerai makanan India, telah ditamatkan perkhidmatan mereka kerana tidak mematuhi terma kontrak.

Tiga lagi pengendali yang ditamatkan perkhidmatan mereka adalah kontraktor berbangsa Melayu, katanya.

Beliau berkata MIC akan membawa perkara itu ke Kementerian Pendidikan Tinggi dan pengarah berkenaaan bagi mempastikan ia diselesaikan segera.-Malaysiakini


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.