Lagu Popular Cerminan Hidup Zaiton

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal 80-an, Zaiton Sameon, mengakui setiap dendangan popular sejak album Menaruh Harapan membayangkan perjalanan hidupnya yang penuh suka dan duka.

Pada usia mencecah 61 tahun, artis bersuara nyaring itu berkata, satu persatu lagu termasuk Kabut Serangkai Mawar, Berendam Air Mata, Diriku Yang Tersingkir dan Kisah Pahit seakan-akan memperincikan luahan hati, terutama sejak insiden kemalangan dialaminya pada 21 Februari 1990.

“Saya sendiri tidak menyangka bukan hanya lagu yang dihasilkan selepas saya pulih, bait lirik dalam dendangan sebelum kejadian itu juga mempunyai kaitan dengan diri sendiri.

“Namun, bukan semuanya menggambarkan lara hati, ditinggalkan, kehilangan atau pun mengharap sinar, sebaliknya turut membayangkan perasaan masa kini yang semakin tenang.

“Saya bersyukur dikelilingi ramai sahabat baik yang menganggap saya seperti saudara mereka sendiri. Mereka inilah yang membuatkan semangat saya segar semula,” katanya kepada BH Online.

Dalam tragedi itu, satu-satunya permata hati Zaiton, Azirwan Abu Bakar, terkorban pada usia 13 tahun. Dalam kemalangan terbabit, seorang lagi mangsa iaitu pemuzik pengiring turut meninggal dunia.

Kecederaan teruk menyebabkan penyanyi yang melakar nama pada 1987 itu terlantar koma di hospital selama tiga bulan dan hanya pulih sepenuhnya sejak lima tahun lalu.

Pada masa sama, Zaiton turut meluahkan rasa terharu apabila teman baiknya, Syed Wafa, sanggup mengeluarkan duit simpanan untuk menghadiahkan dirinya single baharu berjudul Rindu Pelukan Bonda, gubahan S Atan.

“Kali terakhir saya merakamkan lagu kira-kira 10 tahun lalu, menerusi Menadah Impian. Lagu ini sendiri menggambarkan kerinduan saya yang kehilangan anak tercinta.

“Istimewanya, menerusi lagu ini kami berduet kerana ia dendangan ibu dan anak. Saya berikan syarat supaya kami bergabung memandangkan Syed Wafa sendiri pada pandangan saya ‘ada suara’.

“Asalnya sebelum ini beliau sakit dan berniat mahu menghadiahkan sebuah lagu jika dirinya pulih. Kini, niatnya itu sudah direalisasikan dan hanya menunggu diputarkan di radio,” katanya.-Bharian

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.