Izzue Buat Ketupat Malam Raya

Aidilfitri detik paling dinanti penyanyi dan pelakon terkenal Izzue Islam kerana dapat berkumpul dengan keluarga dan sahabat handai.

Menurut pelakon filem Alif Tujuh Dimensi ini, sambutan Aidiladha di negeri kelahirannya iaitu Kelantan lebih meriah berbanding Aidilfitri.

“Bagaimanapun, kemeriahan Aidilfitri tetap terasa jika saya pulang ke kampung. Seperti yang kita tahu, 1 Syawal adalah detik kemenangan umat Islam selepas sebulan berpuasa.

“Lagipun, inilah masa paling sesuai untuk semua anggota keluarga bertemu dan mengeratkan lagi silaturahim,” katanya.

Sama seperti pasangan lain, Izzue dan isterinya, Awin Nurin mengamalkan sistem giliran dalam memilih lokasi menyambut Aidilfitri.

“1 Syawal lalu kami beraya di kediaman Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan pada hari kedua raya berkumpul di kediaman keluarga Awin di Selangor.

“Selepas itu, barulah kami pulang ke kampung halaman saya di Kelantan dan akan berada di sana selama tiga hari,” katanya.

Ditanya mengenai rutin sambutan pasangan romantik ini, Izzue mengakui masih mengekalkan tradisi membuat ketupat pada malam Aidilfitri.

“Tak lengkap raya jika tak buat ketupat. Ini aktiviti wajib kami pada malam raya.

“Kalau nak tahu saya memang penggemar ketupat palas berintikan serunding daging dimasak nenek. Selain itu, biskut seperti almond london, bangkit cheese dan batang buruk juga wajib ada. Kalau tidak, rasa tak lengkap hidangan atas meja,” katanya.

Sementara itu, juadah raya pilihan Awin adalah nasi impit dan kuah kacang.

“Selain dua juadah wajib ini, saya akan cari biskut cherry chip,” kata Awin.

Sempena Aidilfitri, wajah Izzue juga akan menghiasi kaca TV menerusi beberapa program.

“Antaranya, Teh Tarik Raya Che Ta dan Hero Princess Aisyah Raya. Jadi, kepada semua peminat jangan lupa menonton program yang saya jayakan,” katanya.

Selepas Aidilfitri, Izzue akan kembali rancak menjalani penggambaran drama Kisah Yang Hilang.

“Drama seram komedi 20 episod ini akan ditayangkan di TV3. Saya terpaksa pendekkan cuti untuk menjayakan penggambaran drama ini,” katanya.

Izzue juga akan muncul dengan drama terbaru lakonannya, Ops Cinta Din Sardin bersama Mira Filzah yang akan ditayangkan di TV9.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.