Gadis OKU Hasrat Kembangkan Perniagaan Keserata Dunia

KUALA LUMPUR,-Gadis Orang Kelainan Upaya (OKU) yang mengusahakan Kuih bakul berstatus halal berhasrat mengembangkan perniagaannya dengan membuka kilang bagi membuat makanan tradisi kaum Cina itu.

Haziqah Nurul Huda Harun, 20, atau lebih dikenali sebagai Yaya ,berkata beliau kini menerima tempahan antara 15,000 dan 20,000 biji kuih bakul seminggu yang dihantar sehingga ke Singapura, Rusia, Kuwait, Abu Dhabi, China, Australia, Brunei, India, Thailand dan terbaharu, Korea Selatan.

Alhamdulillah, sekarang rezeki Yaya semakin bertambah, kalau dulu Yaya hanya dapat tempahan sekitar 2,000 hingga 4,000 biji kuih seminggu tetapi adakalanya tempahan turut mencecah hingga 20,000 biji seminggu.

InsyaAllah, kalau ada rezeki, Yaya sasar akan buka kilang kecil dalam tempoh dua tahun ini dan berhasrat untuk mencari pengedar serta menawarkan beri peluang pekerjaan kepada orang lain,” kata gadis berasal dari Kampung Bukit Kuang, Kemanan, Terengganu, ketika dihubungi Bernama.

Katanya, selain kuih bakul atau dikenali sebagai ‘Nian Gao’, kuih bulan yang dihasilkan dengan 29 perisa turut mendapat tempahan berganda dan menembusi pasaran luar negara.

“InsyaAllah, September ini, sebanyak 20,000 hingga 30,000 kuih bulan akan dipasarkan ke Singapura sempena perayaan kuih bulan dan setakat ini, untuk pasaran luar negara bagi kuih bakul dan kuih bulan, minimum tempahan yang Yaya peroleh adalah 2,000 biji untuk sekali tempahan, katanya.

Bagi menjamin mutu dan kualiti kuih yang dihasilkan secara manual tersebut, Yaya berkata beliau turut menambah baik pembungkusan kuih menggunakan plastik kedap udara dan kotak khas.

“Walaupun untuk sebulan, Yaya memproses sehingga 2,000kg tepung pulut untuk kuih bakul dan lebih 100kg tepung gandum untuk kuih bulan, Yaya tetap akan membuat acuannya secara manual seperti dahulu untuk pastikan struktur dan rasa kuih tetap sama malah bertambah enak.

“Yaya juga akan pastikan setiap kuih yang ditempah tidak rosak apabila sampai ke tangan pelanggan,” katanya yang turut dibantu ibu dan adiknya.

Gadis yang lumpuh selepas mengalami demam panas empat tahun lalu ini mempelajari cara pembuatan kuih yang popular bagi masyarakat Cina menjelang Tahun Baharu Cina itu daripada sahabat Facebooknya, yang berasal dari Beijing, dua tahun lalu.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.