Anak Fahrin Tumpuan Keluarga, Kenalan Di Johor

KUALA LUMPUR: Khalifa Fahrel, anak pelakon Fahrin Ahmad menjadi tumpuan sanak-saudara serta kenalan pada majlis rumah terbuka Aidilfitri, sejak Ahad lalu.

Pulang menyambut Syawal di Johor, Fahrin, 38, dan isterinya, Elena Hani Eleas, 39, mengambil peluang memperkenalkan Khalifa yang berusia sembilan bulan, kepada tetamu dan sanak-saudara yang dilawati.

“Pada tahun lalu, kami beraya sebagai pasangan suami isteri. Pada Aidilfitri ini, semuanya tambah bererti apabila kami sudah bertiga.

“Inilah masanya kami mahu memperkenalkan Khalifa kepada saudara mara di kampung.

“Walaupun usia Khalifa belum mencecah setahun, kami mahu menerapkan budaya kunjung-mengunjungi setiap kali menyambut lebaran sebagai pengerat silaturahim,” katanya kepada BH Online.

Fahrin mengaku selepas memegang status ayah, tumpuan dan persediaan menyambut Aidilfitri beralih kepada si kecil.

“Saya serahkan kepada isteri untuk membuat persiapan kerana dia ada cita rasa hebat dalam menentukan persalinan kami mahupun dalam soal penyediaan juadah,” katanya.

Katanya, soal giliran lokasi beraya juga tidak menimbulkan masalah kerana mereka berasal dari Johor. Fahrin dan Elena berkahwin pada Mei 2015.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.