AS gantung proses visa pelajar, saring media sosial pelajar asing

- Advertisement -

WASHINGTON- Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio, mengarahkan pemprosesan visa pelajar dihentikan.

Serentak itu, pentadbiran Presiden AS Donald Trump, mempertingkatkan saringan terhadap media sosial pelajar asing, menurut satu sumber dalaman.

Ia adalah langkah terbaharu yang menyasarkan pelajar antarabangsa, sumber utama pendapatan bagi universiti di AS.

Sebelum ini Rubio membatalkan ratusan visa dan pentadbiran Trump bertindak menghalang Universiti Harvard daripada menerima sebarang pelajar bukan warganegara AS.

Satu kabel yang ditandatangani Rubio dan dilihat AFP itu mengarahkan kedutaan dan konsulat untuk tidak membenarkan ‘sebarang temujanji tambahan bagi visa pelajar atau pertukaran… sehingga arahan selanjutnya dikeluarkan’.

Ia menyatakan bahawa Jabatan Negara merancang untuk mengeluarkan panduan berhubung pengembangan saringan media sosial bagi semua permohonan tersebut, lapor AFP.

Kabel itu mencadangkan penggantungan tersebut mungkin bersifat sementara, dengan memaklumkan kedutaan supaya menunggu panduan baharu dalam ‘beberapa hari mendatang’, walaupun misi AS sering kali menghadapi kesesakan besar dalam memproses permohonan.

Jurucakap Jabatan Negara AS, Tammy Bruce, tidak mengulas secara langsung mengenai kabel tersebut tetapi berkata: “Kami mengambil serius proses menilai siapa yang datang ke negara ini.

“Ia adalah matlamat, seperti yang dinyatakan oleh presiden dan Setiausaha Rubio sebelum ini.

“Kita mahu memastikan orang yang berada di sini memahami undang-undang, tidak mempunyai niat jenayah, dan akan menjadi penyumbang kepada pengalaman di sini, sama ada status mereka pendek atau panjang,” katanya.

Apabila ditanya sama ada pelajar yang ingin melanjutkan pelajaran di universiti AS perlu memastikan visa mereka siap sebelum penggal bermula pada musim luruh, Bruce berkata: “Jika anda akan memohon visa, ikuti proses biasa, langkah biasa, jangkakan jangka semakan.”

Rubio minggu lalu memberitahu satu perbicaraan Senat bahawa beliau telah membatalkan ‘beribu-ribu’ visa sejak Trump mengambil alih jawatan pada 20 Januari.

Rubio menggunakan satu undang-undang tidak begitu dikenali, yang membenarkan setiausaha negara mengusir warga asing yang terlibat dalam aktiviti yang dianggap bertentangan dengan kepentingan dasar luar AS.

Sasaran yang paling ketara adalah pelajar yang terlibat dalam aktiviti berkaitan Gaza.

Pegawai pentadbiran Trump menuduh pelajar terbabit sebagai anti-Semitisme, tuduhan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh beberapa individu yang disasarkan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat