Menjadi memori yang pasti tidak dapat dilupakan sebuah persembahan yang begitu menakjubkan dan menjadi nostalgia yang cukup bermakna bagi peminat dan penonton yang hadir pada konsert “ZIANA ZAIN 2024” pada 25 Mei lepas.
Konsert yang berlangsung di Megastar Arena Kuala lumpur yang bermula tepat pada pukul 9 malam telah berlangsung selama 2 jam itu telah menjadi sejarah penting bukan sahaja dalam karier diva seni suara tersebut tapi juga buat industri hiburan tanahair.
Setelah 22 tahun tidak mengadakan persembahan solo berskala besar, Konsert “ZIANA ZAIN 2024” telah disambut meriah apresiasi oleh para peminat yang rata-rata merupakan peminat tegar penyanyi berusia 56 tahun tersebut. Kembali membait memori lontaran vokal yang cukup menakjubkan di pentas Megastar Arena.
Seramai 5000 penonton yang memenuhi segenap ruang di Arena Megastar untuk menyaksikan persembahan yang umpama “Magic” yang berjaya memukau setiap penonton yang hadir serta “Sing Along” bersama idola mereka.
Penghibur yang mendapat gelaran Diva Pop itu kali terakhir mengadakan konsert solo menerusi Ziana Zain In The Park yang diadakan di PWTC (kini World Trade Centre) Kuala Lumpur pada tahun 2001.
“Saya sangat terharu dan sangat berterima kasih dengan kehadiran para peminat yang telah menjadi tulang belakang dalam kerjaya saya selama ini. Juga kepada pihak media yang sentiasa membantu saya dalam perjalanan karier dan tidak putus-putus membantu mempromosikan konsert ini,” ujar Ziana Zain.
Selaku pihak penganjur, Anuar Zain bagi pihak Anuar Zain Network Sdn Bhd juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures diatas sokongan kerajaan yang berterusan kepada pembangunan industri kreatif melalui Dana Kandungan Digital Persembahan Muzik bagi menjayakan konsert pada malam ini.
Bersama nama-nama hebat dalam industri yang mengembleng tenaga, kreativiti dan antusias dalam konsert ini, pentas meriah ini menyaksikan Aubrey Suwito bertindak sebagai Pengarah Muzik serta pemain piano manakala Jennifer Thompson sebagai Pengarah Konsert.
Konsert ini juga menyaksikan gandingan hebat pemuzik-pemuzik tanah air seperti Nan Alias (gitar), Wan Gigi (gitar), Gideon (bass), Derrick Siow (dram), Firdaus (keyboard), Steve Thornton (perkusi) serta Mariam, Fazira dan Affan sebagai penyanyi latar.
Konsert ini ditambahkan kemeriahan dan kekayaan bunyi dengan kehadiran barisan pemain violin iaitu Brian Larson, Ergys Koni, Mabel Wong, Melanie Ooi, Jacqueline Tan dan Joey Young. Juga diserikan dengan kehadiran Toko Inomoto (viola), Jonathan Oh (Cello) serta Zachary Suwito selaku protools operator.
Dalam durasi 2 jam lebih, penonton-penonton disajikan dengan 20 buah lagu hits Ziana Zain seperti Madah Berhelah, Putus Terpaksa, Berpisah Jua, Dingin, Kekal, Puncak Kasih dan banyak lagi
Kelihatan setiap penonton yang pulang tersenyum menandakan kepuasan serta mendapat memori yang cukup berharga buat mereka yang pasti akan kekal selama lamanya.