Perubahan fungsi pustaka perlu untuk kekal relevan

- Advertisement -

KUANTAN – Pendekatan baharu dalam menarik pengunjung terutamanya pelajar dan remaja untuk datang ke perpustakaan perlu dilakukan secara konsisten.

Ini bagi memastikan fungsi perpustakaan itu tidak kekal stereotaip dan dilabel sebagai tempat yang tidak mempunyai daya tarikan.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Pahang, Nor Zahira Muhammad Azmi berkata, pelbagai program dan usaha dilakukan pihaknya untuk menjadikan perpustakaan di bawah kendalian pihaknya sentiasa dekat di hati peminat buku serta pelajar.

“Kita sudah memperkenalkan konsep ‘edutaiment’ dan sekarang kita sedang mempromosikan ‘edutourism’ dalam kalangan pengunjung perpustakaan awam di Pahang.

“Sekarang kita perlu lakukan perubahan dan mengikut perkembangan semasa dan tidak boleh lagi membiarkan persepsi seperti kalau orang sebut perpustakaan sahaja, terus dalam fikiran mereka satu tempat yang sunyi dan tidak ada apa-apa (aktiviti) nenarik selain membaca buku,” katanya.

Nor Zahira memaklumkan, selain membeli buku dan novel terbaharu di pasaran, pihaknya juga menyediakan ruang interaktif untuk pengunjung, terutamanya golongan remaja dan kanak-kanak.

Katanya, PPAP juga memiliki ruang tayangan video 3 dimensi dengan sistem bunyi yang canggih bagi memberi peluang kepada pengunjung menikmati tayangan dokumentari dan filem yang bersesuaian.

“Sekarang kita tengah siapkan bilik muzik, bilik yang mempunyai pelbagai peralatan muzik untuk pengunjung dapat sama-sama berhibur sambil belajar,” katanya lagi.

Selain itu, dia turut memberitahu PPAP sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat untuk menganjurkan program di perpustakaan awam di seluruh Pahang.

“Hari ini (semalam) kita ada program ‘Library for You’ yang dianjurkan secara bersama dengan Persatuan Pronita Pahang.

“Program ini memberi peluang kepada kira-kira 80 pelajar dan murid sekolah dari Bera untuk mengenali dan memahami lebih dekat apa yang sebenarnya ada di perpustakaan awam Kuantan,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah buku yang dimiliki PPAP setakat ini, Nor Zahira berkata, pihaknya mempunyai lebih 250,000 buku pelbagai judul dan genre.

Katanya, PPAP juga membeli kira-kira 50,000 buku baharu setiap tahun menggunakan peruntukan disediakan oleh Perpustakaan Negara.

tamat

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat