Tiada Sebab Untuk China Bimbang Melabur Di Malaysia

KUALA LUMPUR – Para pelabur China tidak perlu bimbang untuk menjalankan perniagaan dengan Malaysia di bawah kerajaan yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini kerana, Malaysia dan China memerlukan antara satu sama lain.

Lagipun, Dr Mahathir dikenali sebagai pro-Asia dan semasa menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003 beliau menjalinkan hubungan baik dengan China.

“Lantaran itu, Beijing dan pelabur China tidak perlu terlalu bimbang, nilai hubungan antara kedua-duanya difahami,” menurut lidah pengarang akhbar South China Morning Post (SCMP) hari ini.

SCMP adalah akhbar berbahasa Inggeris di Hong Kong.

Katanya, Dr Mahathir telah membuka pintu pelaburan kepada semua negara, tidak dari mana, perbezaan politik dalam kerajaan.

Tetapi, Perdana Menteri Malaysia tidak menyatakan secara langsung isu-isu membabitkan projek pembangunan China, yang mana dikhuatiri akan menjejaskan kedaulatan.

Bagaimanapun, Dr. Mahathir telah memberikan isyarat dengan mengatakan akan menghormati perjanjian yang ditandatangani, tetapi juga akan mengkaji tawaran yang masih belum dilaksanakan.

Meskipun begitu, SCMP mengakui kenyataan-kenyataan yang menjurus kepada China semasa berlangsungnya kempen (pilihan raya) mengundang kurang senang, terutama dalam kalangan pelabur.

Dalam kempen pilihan raya, dua pembangunan infrastruktur utama China menjadi tumpuan – projek laluan kereta api yang menghubungkan luar bandar di timur ke pelabuhan barat Klang di Selangor dan pembangunan hartanah Forest City di Johor.

SCMP berkata, kebimbangan rakyat Malaysia juga perlu ditangani memandangkan Forest City, adalah pembangunan mewah yang tidak mampu dimiliki oleh majoriti rakyat Malaysia dan secara khusus untuk warga asing dari China.

Dr Mahathir mendakwa projek perumahan di kawasan 14 kilometer persegi yang dibina di atas empat pulau buatan manusia itu akan memiliki 700,000 orang penduduk akan menjadi sebuah “kawasan asing”.

Akhbar itu telah menasihatkan syarikat-syarikat China supaya mengambil kira budaya dan kepekaan tempatan semasa beroperasi di luar negara.

Jelasnya, Malaysia adalah pelbagai budaya tetapi isu bangsa adalah perkara yang dipelihara.

Forest City juga memberi impak kepada harga hartanah tempatan dan permintaan perumahan, industri perikanan, bakau, tanah lembap dan kehidupan laut.

Akhbar itu berkata, perkembangan semasa akan menyebabkan sebahagian firma China akan menjadi kurang agresif dalam urusan perniagaan luar negara namun tidak ada keperluan untuk mengubah hubungan Malaysia dengan China

“Negara itu memerlukan kepakaran pelaburan dan infrastruktur China untuk membangun dan ia merupakan bahagian penting dalam “Belt and Road Initiative”. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.