DRB-Hicom Kekal Kuasai Proton

SHAH ALAM – DRB-Hicom masih mempunyai pegangan 50.1 peratus kepentingan dalam Proton dan penjualan 49.9 peratus sahamnya kepada Geely adalah sebagai langkah untuk menyelamatkan syarikat nasional itu daripada muflis.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata langkah itu terpaksa diambil bagi mengelakkan Proton mengalami kerugian yang lebih besar dan kemudiannya menerima nasib yang sama seperti Perwaja.

“Sebagai contoh, pada tahun 2015, Proton telah mengalami kerugian hampir RM650 juta. Kemudian pada tahun 2016, Proton rugi hampir RM1.5 bilion. Jadi Proton terpaksa meminjam daripada kerajaan RM1.5 bilion untuk membuat bayaran kepada vendor dan pembekal yang telah tertunggak selama lapan bulan.

“Jadi model perniagaan Proton ini sudah tidak sustainable (mampan). Sebabnya, yang pertama Proton sudah tidak ada volume (jumlah pengeluaran).

“Kita tidak mahu Proton ini mempunyai nasib sama seperti Perwaja Steel (Perwaja). Kita cuba bangunkan industri besi dan keluli menerusi Perwaja. Banyak kerajaan tolong tapi akhirnya Perwaja tutup,” katanya dalam satu wawancara bersama akhbar Mingguan Malaysia.

Tambahnya, pemilihan Geely sebagai rakan strategik dibuat selepas melihat kemampuan syarikat itu memberikan nafas baru kepada jenama Volvo.

“Jika tidak, orang sudah tidak akan pakai Volvo. Geely bukan sebuah syarikat kecil. Nilai jualannya hampir AS9 bilion (RM38.4 bilion) setahun.

“Kemudian, keuntungannya hampir AS1 bilion (RM4.27 bilion). Geely juga mempunyai kira-kira 35,100 orang pekerja dan nilai keseluruhan aset syarikat itu mencecah AS 10 bilion (RM42.7 bilion). Kemudian, Geely mengedarkan kereta keluarannya ke sebanyak 23 buah negara. Inilah syarikat yang bekerjasama dengan Proton,” tambahnya. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.